Sila Klik Nuffnang

Saturday 5 January 2013

Membuka Lembaran 2013

Rasanya sedikit terlambat untuk mula membuka lembaran tahun baru 2013. Namun begitu, untuk menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baru 2013 mungkin masih diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Surau Wahbah Al-Zuhaily sebenarnya telah pun mula merencana program untuk pengisian sepanjang tahun 2013 ini. Dimana sebagai kebiasaan, program yang dianjurkan sudah tentu ke arah membentuk masyarakat yang berilmu, beriman dan beramal soleh seterusnya menjadikan diri sebagai hamba yang bertakwa kepada Allah. Ini adalah hasil daripada mesyuarat ahli jawatankuasa surau yang bersidang baru-baru ini.



Sebagai permulaan, pihak AJK surau telah merencana program bermula Januari hingga April 2013 sahaja. Ini adalah disebabkan jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily bagi sesi 2011-2013 akan tamat tempoh kuatkuasanya pada April nanti. Oleh yang demikian, mesyuarat agung tahunan akan diadakan bagi sesi pemilihan jawatankuasa yang baru.

Itu sedikit gambaran yang boleh dijelaskan berkenaan hala tuju surau sepanjang 2013 ini. Namun, sebelum terbubarnya AJK ini, beberapa program telah pun dirancang serta beberapa penambahbaikan program sedia ada telah dibuat bagi menghidupkan rumah Allah yang dicintai ini. Apa agaknya program itu ye? Sedikit preview saya sediakan untuk muqaddimah 2013 ini.

Januari 2013

Seperti bulan-bulan terdahulu, kuliah maghrib, kuliah muslimat dan kelas pengajian tajwid Al-Quran akan terus menemui para jemaah mengikut jadual yang telah disusun. Namun begitu, penambahbaikan yang telah dirancang oleh AJK ialah dengan mewujudkan kuliah subuh yang julung-julung kalinya diadakan di surau ini selain daripada bulan Ramadhan. Lebih menarik, kuliah ini akan disampaikan oleh seorang guru yang hebat daripada Pondok Pasir Tumbuh Kelantan iaitu Tuan Guru Babo Mashadi Masyuti. InsyaAllah beliau akan membimbing kita melalui pengajian kitab 'Penawar Bagi Hati'.

Tuan Guru Babo Mashadi Masyuti

Februari 2013

Bagi bulan Februari ini, terdapat juga bulan Rabiul Awal yang saya yakin semua kita tahu peristiwa bersejarah telah tercatat di dalamnya. Ya, Maulidur Rasul SAW. Walaupun tanggal 12 Rabiul Awal jatuh pada bulan Januari, namun kehangatan sambutannya pasti berlarutan sehingga ke hujung Rabiul Awal tersebut. Maka, dengan mengambil kira pelbagai aspek, Surau Wahbah Al-Zuhaily akan menganjurkan satu program sempena Maulidur Rasul 1434H pada 7 Februari 2012. Seorang selebriti dakwah tanahair akan membuat penampilan kormesial khas untuk Surau Wahbah Al-Zuhaly pada tarikh tersebut. Jangan lupa catit di dalam diari anda.

Mac 2013

Sebelum 'parlimen' Surau Wahbah Al-Zuhaily dibubarkan secara rasmi, satu program istimewa untuk penduduk akan diadakan pada bulan Mac. Program tersebut ialah Kursus Pengurusan Jenazah yang mana melalui pengamatan kami kursus ini amat sesuai diadakan memandangkan ia adalah fardhu kifayah di dalam Islam. Nantikan makluman daripada pihak AJK surau untuk kita sama-sama sertai program yang bermanfaat ini.


Lain-lain Program

Tempoh antara Januari hingga Mac ini juga akan ada juga program-program berbentuk sosial seperti majlis tahlil, pertandingan surau futsal dan ping pong serta aktiviti-aktiviti santai yang akan dimaklumkan kelak. Paling mencuri tumpuan nanti mungkin kepada pertandingan futsal yang dirancang penganjurannya bersama Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin Putrajaya. Matlamatnya tetap satu, iaitu untuk meningkatkan taqwa kepada Allah dengan terjalinnya ukhuwah melalui sukan. InsyaAllah ini adalah platform yang sangat berguna.


Cukuplah dahulu coretan sebagai pembuka lembaran 2013 ini. Pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily amat memerlukan sokongan seluruh ahli jemaah dan penduduk Presint 18 khususnya di Fasa r12 untuk sama-sama mengimarahkan rumah Allah nan indah ini. Semoga tahun 2013 ini akan menambahkan tingkatan iman dan taqwa kita untuk digelar sebagai hamba-Nya yang soleh. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment