Sila Klik Nuffnang

Wednesday 12 September 2012

Majlis Aidilfitri Paling Meriah

Setelah hampir 4 tahun Surau Wahbah Al-Zuhaily beroperasi, tahun 2012 ini menggamit sesuatu yang sangat indah di kalangan kami AJK yang dilantik. Di sinilah bermulanya peningkatan prestasi terhadap program anjuran Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Baru-baru ini, iaitu pada 9 September 2012 (Ahad), Surau Wahbah Al-Zuhaily telah pun mengadakan satu majlis sempena sambutan Aidilfitri 2012/1433H. Majlis yang berkonsepkan rumah terbuka ini adalah julung kali dilaksanakan khas untuk para penduduk Presint 18 khususnya di Fasa 18 R12. Berbeza pada tahun-tahun sebelumnya, majlis Aidilfitri dilaksanakan dengan konsep program khas dengan menjemput penceramah-penceramah terkenal. Namun, bagi memastikan penglibatan semua penduduk, pihak AJK Surau menukar konsep dengan tujuan melihat sejauh mana sambutan pada majlis kali ini.

Suasana Majlis Aidilfitri Surau Wahbah Al-Zuhaily

Alhamdulillah... Majlis ini mencatatkan sambutan yang amat luar biasa dan jauh daripada sasaran awal pihak penganjur. Majlis yang diadakan selama kira-kira 3 jam itu dianggarkan dihadiri lebih daripada 500 orang penduduk dan para jemputan yang majoritinya adalah penghuni di Presint 18. Seluruh AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily sangat teruja dengan sokongan penduduk terhadap majlis ini.

Suasana Majlis Aidilfitri Surau Wahbah Al-Zuhaily

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah di atas perkenan-Nya untuk menjadi majlis Aidilfitri ini berjaya serta diberikan kesempurnaan cuaca pada hari tersebut. Pastinya ia akan memberi dorongan kepada AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily untuk melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada penduduk Presint 18 khasnya di Fasa 18 R12.

Akhirnya, pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang sudi hadir pada majlis Aidilfitri ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua yang menjayakan majlis bermula daripada berkongsi dana di kalangan AJK dan penghuni, bergotong-royong menyediakan juadah dan segala susah payah untuk menguruskan persiapan majlis.

Tidak lupa juga kepada para penaja makanan terutamanya Dato' Jawahar Ali, Pengusaha Restoran Ali Maju, Ahli Parlimen yang sudi memberi pinjaman peralatan kerusi dan meja, agensi kerajaan iaitu JAWI, MAIWP dan KWPKB. Setinggi penghormatan kepada barisan AJK Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Fasa 18 R12 yang sama-sama membantu dan paling dikasihi ialah seluruh AJK, ahli jemaah, qariah dan petugas sukarela Surau Wahbah Al-Zuhaily. Jasa anda tidak terhingga. Semoga Allah akan merahmati kalian.

Jumpa lagi di dalam program dan majlis-majlis yang dianjurkan pada masa akan datang. Segalanya tidak lain selain daripada ingin meraih redha Allah SWT ke atas seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12. Syukran jazilan..


P/S: Lagi gambar majlis dan gotong-royong akan menyusul di dalam post berikutnya. InsyaAllah...

P/S: Mohon maaf kerana juadah yang disediakan tidak dapat menampung kehadiran keseluruhan penduduk kerana ianya diluar jangkaan. InsyaAllah pada tahun-tahun hadapan akan dipertingkatkan kuantiti dan kualiti majlis.

P/S: Statistik duit raya untuk kanak-kanak ialah sebanyak 180 keping sampul habis diedarkan. Terdapat juga anak-anak yang tidak menerima duit raya pada majlis ini. Mohon maaf sekali lagi. Tahun hadapan pastikan datang awal yer..

No comments:

Post a Comment