Sila Klik Nuffnang

Thursday 27 June 2013

Fenomena Jerebu: Amaran Allah Melalui 'Ad-Dukhan'

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi serta apa sahaja yang terkandung di antara keduanya. Tempoh sukar kira-kira lebih seminggu telah pun menunjukkan tanda-tanda positif hasil daripada rahmat hujan yang diturunkan-Nya.

Bacaan IPU pada 27 Jun 2013

Detik mengharungi jerebu tebal nampaknya sudah berlalu. Tidak pasti ia kekal dan bertambah baik atau muncul lagi selepas ini. Masalah jerebu yang melanda beberapa Negeri di Malaysia baru-baru ini sebenarnya harus dilihat dari pelbagai sudut. Betapa terjejasnya gerak geri dan aktiviti kita akibat pencemaran udara ini wajar dimuhasabah sebaik mungkin.

Jika dilihat kepada fakta, tahun 2013 ini mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya ketika mana fenomena ini muncul. Daerah Muar dan Ledang di Negeri Johor paling teruk terjejas sehinggakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mengumumkan perintah darurat di kawasan tersebut.

Bagi kebanyakan kawasan-kawasan lain seperti Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula, IPU yang dicatatkan adalah sehingga mencecah tahap berbahaya. Beratus-ratus sekolah telah diarahkan tutup sepanjang tempoh seminggu yang lalu.

Punca Jerebu Pada Perspektif Umum

Bencana jerebu yang di alami di Malaysia pada ketika ini pada perspektif umumnya ialah akibat daripada pembakaran terbuka yang dilakukan oleh Negara jiran Indonesia. Saban tahun inilah perkara yang dibincangkan oleh media-media massa sehingga terkadang berlaku 'peperangan berita' antara kedua Negara. Tahun ini lebih meruncing, kerana Singapura juga turut sama di dalam perbahasan.

Kementerian yang bertanggungjawab tentang alam sekitar juga segera memainkan peranan bagi mencari kaedah terbaik menangani masalah jerebu ini. Kementerian kesihatan juga tidak kurang sibuknya. Risalah-risalah berkenaan penjagaan kesihatan diedarkan kepada orang awam terutama di kawasan yang teruk terjejas. Semuanya dinilai dari sudut material umum. Pihak yang untung, sudah pastinya penjaja topeng muka dan penutup mulut.

Keadaan jerebu di Putrajaya

Namun begitu, wajarkah tindakan kita hanya menilai kejadian ini sebagai kesalahan di sebelah pihak? Apakah kita ini tidak melakukan apa-apa tindakan luar batasan yang telah ditetapkan oleh Allah baik dengan Pencipta, makhluk mahu pun alam sekitar? Di sinilah kewarasan minda sangat diperlukan agar bencana yang tercipta ini mampu melembutkan hati-hati manusia agar taat dan bertambah keimanan  kepada-Nya.
 
Amaran Allah Melalui Ad-Dukhan

Mari kita kaitkan bencana jerebu ini dengan satu surah di dalam Al-Quran yang dinamakan Ad-Dukhan. Saya memetik beberapa ayat yang nyata menunjukkan satu amaran daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya.


Maksudnya: Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)[10]. Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan” [11]. (Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!”[12]. Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? Pada hal mereka telah pun didatangi seorang Rasul yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)![13]. Sekalipun demikian, mereka juga berpaling ingkar daripada menerima keterangannya sambil berkata (sesama sendiri): “Dia seorang yang diajar (oleh bangsa asing), dia juga seorang yang gila!”[14]. Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar)[15]. (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya)[16].  Surah Ad-Dukhan (Ayat 10-16)

Inilah antara perkara yang sering kita lupa. Ayat-ayat Allah sudah cukup memberi peringatan bahawa pelbagai jenis bencana yang kita hadapi ini tidak lain adalah berpunca dari kerosakan yang kita sendiri cipta. Ad-Dukhan yang membawa maksud kepulan asap tebal yang menyelaputi langit ditimpankan oleh Allah kepada makhluk yang ingkar dengan perintah-Nya. Malangnya, mereka yang taat turut sama tenggelam di dalam kesamaran asap tebal itu.

Mengingkari perintah Allah jangan sekadar ditafsirkan dalam bab-bab asas seperti solat dan berpuasa. Namun, nilailah ia secara keseluruhan kehidupan sebenar seorang Muslim yang beriman. Cuba kita lihat jalan hidup kita seharian. Sempurnakah akhlak kita..? Terpeliharakah muamalat kita..? Selesaikah pula tanggungjawab kita kepada masyarakat dan Negara..? Juga terpanggilkah kita untuk jihad menegakkan syiar Islam dan mempertahankan kalam-kalam suci Allah. MasyaAllah..jauhnya kita dengan ketaatan.

Memohon bantuan Allah

Sedar tidak sedar, permasalahan jerebu yang berlaku pada alam sekitar kita ini mengundang dekatnya kita kepada Allah. Kebanyakan masjid, surau dan komuniti setempat bersatu mengadakan solat hajat, solat istisqa' (memohon hujan) dan sebagainya dengan niat tidak lain selain daripada memulihkan udara kita daripada pencemaran yang berterusan. Maka begitulah ia dilalui saban tahun.

Terkadang kita terlalu dibuai dengan nikmat Allah yang datang segera. Jerebu yang menyelubungi bumi Malaysia disiram dengan hujan rahmat walaupun dalam kuantiti yang sederhana, mampu membawa pergi kepulan-kepulan debu kotor tersebut. Lantas kuntuman senyum terukir diwajah hamba-Nya. Sayang... ia tidak menandakan bahawa kita cukup bersyukur.

Tatkala jerebu ini dihilangkan oleh Allah, manusia terus menunjukkan keangkuhannya. Kebanyakannya kembali kepada rutin hidup yang jauh kepada menyatakan rasa kehambaan terhadap Penciptanya. Rumah-rumah Allah dibiarkan sahaja berkumandang sedang kaki terus terkunci daripada melangkah bergegas mendirikan solat berjemaah. Perasaan gentar langsung tidak wujud ketika mana ayat-ayat Allah dibaca dengan lantang oleh imam yang jelas kedengaran hingga ke ruangan rumah kita. Layakkah sebenarnya kita mendapat pertolongan daripada Allah?

Indeks Pencemaran Hati (IPH)


Merumuskan kisah amaran Allah melalui Ad-Dukhan ini, marilah kita menyukat indeks pencemaran di hati kita yang masih berjerebu. Jika kesihatan fizikal sangat dititikberatkan, bagaimana pula perkiraan kesihatan dari aspek hati..? Jerebu yang menyelimuti hati kita sebenarnya lebih merbahaya. Kekaburan pandangan hati pasti mengakibatkan kita lupa dari mengingati Allah. Apabila tiba satu masa, jika hati itu tidak kembali jernih, maka dikhuatiri ia berubah menjadi buta. Di saat itu, jangan sampai kita karam, hanyut bersama kekufuran yang nyata terhadap nikmat Allah. Nauzubillah..

Ayuh.. marilah kita hilangkan jerebu yang melanda hati kita. Mohonlah kepada Allah SWT agar hati-hati yang semakin tercemar ini disirami dengan titisan-titisan benih iman yang sempurna. Serahkanlah jiwa ragamu kepada Allah dengan rintihan taubat yang sebenar. Jerebu di hati tidak akan pergi dengan sendiri tanpa dorongan kuat pemiliknya untuk taat dan redha di dalam mematuhi syariat Allah.

Kembalilah ke jalan yang benar-benar Allah redhai. Ambillah Islam sebenar ad-din iaitu panduan jalan hidup sebenar seorang Muslim. Mudah-mudahan dengan hilangnya jerebu di hati, maka Allah tidak akan kembalikan semula jerebu di bumi tempat kita menghuni ini. Allah adalah dahan yang paling kukuh untuk kita bergantung. Maka kepada-Nya sahajalah keimanan ini dipersembahkan. Wallahu'alam.

Wednesday 26 June 2013

Kutipan Dana Ramadhan 1434H / 2013

Makluman kepada seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12, pihak jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily (SWAZ) telah memutuskan untuk terus melaksanakan aktiviti kutipan dana Ramadhan dari rumah ke rumah seperti mana tahun-tahun sebelumnya.

Pelaksanaan ini adalah bagi menampung kos perbelanjaan Ramadhan yang tinggi seperti penyediaan moreh, program berbuka puasa, qiamulail, taddarus dan sebagainya. Oleh yang demikian, pada tahun ini kutipan dari rumah ke rumah adalah di jadualkan seperti mana berikut:

Untuk makluman juga, AJK SWAZ telah pun memulakan operasinya pada 24 Jun yang lalu di mana hasil daripada kutipan di 2 blok A & B menunjukkan peningkatan daripada tahun sebelumnya. Sejumlah lebih RM3,000 telah berjaya dikutip dari blok ini. Kerjasama daripada penghuni kedua-dua blok juga sangat baik sehingga pihak AJK surau tidak menghadapi banyak masalah disebabkan kebanyakan penghuni sudah sedia maklum berkenaan kutipan dana Ramadhan ini.

InsyaAllah pada malam ini pihak Surau akan meneruskan program kutipan ke Blok C seterusnya ke blok-blok lain mengikut jadual yang telah ditetapkan. Besar harapan kami agar seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12 dapat memberi sumbangan terbaik bagi memastikan operasi Surau Wahbah Al-Zuhaily pada Ramadhan kali ini berjalan lancar.

Bagi para pembaca yang tidak tinggal di Presint 18 Fasa R12 yang ingin menyumbang, tuan/puan boleh terus menyumbang melalui akaun di Maybank Islamic 5-6601-0555-380  di atas nama Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Semoga infaq yang diberikan ini akan dibalas dengan rezeki yang melimpah ruah daripada Allah SWT. InsyaAllah.. 

Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily sesi 2013/2015

Alhamdulillah.. Surau Wahbah Al-Zuhaily (SWAZ) telah berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-3 pada 15 Jun yang lalu. Pada AGM kali ini, pemilihan telah pun dibuat bagi melantik ahli jawatankuasa baru SWAZ bagi tempoh 2013-2015.

Di dalam pemilihan tersebut, jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Bendahari, Setiausaha, Ahli Jawatankuasa, Wakil Muslimat dan Wakil Blok telah pun dipertandingkan. Hasil daripada pemilihan di AGM tersebut, jawatankuasa baru telah memulakan persidangan barunya pada 20 Jun bagi membolehkan penyusunan portfolio bagi setiap AJK selain melantik beberapa lagi jawatan yang tidak dipertandingkan dan rombakan selepas penarikan diri.

Berikut adalah senarai AJK SWAZ bagi sesi 2013/2015:

Pengerusi
 En. Abdul Azim bin Abu Ziden

Timb. Pengerusi
En. Mohd Ariffin bin Hj Abd Karim

Setiausaha
En. Mohd Mustaim bin Hj Mat
Pen. Setiausaha
En. Ruslan bin Achok

Bendahari
En. Mohd Rizal bin Abd Aziz
Pen. Bendahari
En. Sazrul Rizal bin Mustafa

Biro Sambutan & Perayaan
En. Ruslan bin Achok

Biro Dakwah & Pendidikan
En. Mohd Ali bin Sulaiman

Biro Kebajikan & Kemasyarakatan
En. Md Khidzri bin Mia Abdullah

Biro Pembangunan Ekonomi
En. Adnan bin Mohamad Nordin

Biro Sukan, Kesenian & Rekreasi
En. Mohammad bin Mahmood

Biro Penerangan & ICT
En. Alfaisa bin Muhammad

Biro Kebersihan & Keceriaan
En. Baharuddin bin Hashim

Biro Pengurusan Aset & Prasarana
En. Mohd Faisal bin Abd Hamid

Biro Logistik & Keperluan Am
En. Mohd Firdaus bin Mohd Noor

Biro Hal Ehwal Muslimat
1. Puan Farah binti Majid
2. Puan Hasni binti Othman

Wakil Blok
A) En. Khairul Aidil bin Nordin
B) En. Kamarudzaman bin Yahaya
C) En. Ahmad Fadil bin Basar
D) En. Mohd Dzaid bin Khalid
E) En. Syed Muhd Fadzli bin Hussin
F) En. Mohd Amirul Aqif bin Ismail
G) En. Mohd Naim bin Jan
H) En. Mahadzir bin Ismail
 
Note: Jawatan Imam, Bilal & Pemeriksa Kira-kira sedang dalam perbincangan untuk proses pelantikan tetap.

Draf Carta Organisasi SWAZ 2013/2015

Di harap AJK SWAZ yang akan menerajui pentadbiran dan pengurusan Surau bagi sesi 2013-2015 ini akan dapat memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan segala perancangan program dapat dilaksanakan dengan baik.

Kerjasama yang berterusan daripada seluruh penduduk dalam pengimarahan Surau juga amat dialu-alukan bagi memastikan komuniti Presint 18 khususnya di Fasa R12 mendapat kesejahteraan dan rahmat yang melimpah ruah dari Allah SWT.

Friday 7 June 2013

Kembali Bersua di Laman Rasmi SWAZ

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..

Segala puji bagi Allah yang mencipta langit dan bumi untuk kita sama-sama menjadi penghuni yang bersyukur. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semoga syafaatnya akan diraih oleh umatnya yang patuh dan beriman.

Berat rasanya jemari untuk kembali menghidupkan laman rasmi Surau Wahbah Al-Zuhaily ini yang terhenti sejak beberapa bulan yang lalu. Kesukaran mendapatkan access untuk menulis entry terbaru surau sedikit mengganggu kesempurnaan laman blog ini. Penulis sendiri banyak terkesan ekoran daripada perpindahan tempat kerja kira-kira 2 bulan yang lalu. Banyak masa dihabiskan semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan selok belok tempat kerja baru.

Namun begitu, penulis amat yakin bahawa setiap kerja untuk mengimarahkan rumah Allah ini pasti akan diberi jalan serta kemudahan. Maka hari ini digagahkan juga diri ini untuk kembali berinteraksi di laman maya. InsyaAllah penulis akan cuba sedaya upaya untuk membawa berita, cerita, pengajaran dan makluman berkenaan apa jua aktiviti Surau Wahbah Al-Zuhaily kepada seluruh pembaca setia blog ini.

Doa sahabat-sahabat juga amat diperlukan bagi memastikan blog ini kekal beroperasi sebagai salah satu penyumbang informasi berguna untuk semua. Semoga kita semua sentiasa di dalam redha Allah dan Rasul-Nya.


P/S: Surau Wahbah Al-Zuhaily akan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-3 pada 15 Jun 2013 bermula jam 9.00 pagi. Diharap semua penduduk di Presint 18 Fasa R12 dapat turut hadir.