Sila Klik Nuffnang

Thursday 31 January 2013

CERAMAH PERDANA MAULIDUR RASUL 1434H

Surau Wahbah Al-Zuhaily dengan penuh takzimnya menjemput seluruh muslimin dan muslimat ke Program Ceramah Perdana Maulidur Rasul 1434H seperti mana ketetapan berikut:

Tarikh
7 Februari 2013 (Khamis)
Bersamaan 26 Rabiul Awal 1434H

Masa
7.30 malam (Selepas maghrib)

Tempat
Surau Wahbah Al-Zuhaily
Presint 18 Fasa R12, Putrajaya

Penceramah
Y.Bhg. Dato' Ustaz Haji Ismail bin Kamus


Pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily juga menyeru kepada semua untuk turut membuat hebahan kepada saudara-mara, sahabat handai, jiran tetangga serta seluruh muslimin dan muslimat berkenaan program ini. Anda boleh sahaja untuk mengambil gambar poster ini untuk dicetak dan diedarkan atau membuat hebahan melalui Facebook, Blog serta apa-apa sahaja kemudahan media baru yang anda miliki. Pautan ke blog rasmi Surau Wahbah Al-Zuhaily ini juga amat dialu-alukan.

Semoga program ceramah ini dapat disebar luaskan oleh seluruh masyarakat di Putrajaya seterusnya mereka dapat hadir ke majlis ilmu yang cukup bermanfaat ini. Kerjasama semua untuk mempromosi program ceramah Maulidur Rasul ini insyaAllah akan meningkatkan rasa kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Wednesday 30 January 2013

Gotong Royong Kebersihan Surau

Assalamualaikum wbt.

Adalah dimaklumkan, pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan program gotong royong kebersihan Surau bersempena dengan persiapan melaksanakan Program Ceramah Perdana Maulidur Rasul 1434H nanti.

Oleh yang demikian, pihak Surau mengalu-alukan seluruh penduduk, ahli jemaah, muslimin dan muslimat untuk sama-sama berganding bahu membantu kerja-kerja kebesihan dan keceriaan rumah Allah ini. Gotong royong tersebut akan diadakan pada tarikh seperti mana berikut:

Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas.

Gotong royong ini akan memfokuskan soal kebersihan dan keceriaan Surau Wahbah Al-Zuhaily di dalam dan luar kawasan bagi keselesaan para jemaah terutamanya menjelang 'program besar' yang bakal diadakan pada 7 Februari nanti.

Berkenaan gotong royong ini, pihak Surau juga berharap agar penduduk yang hadir sudi untuk membawa bersama peralatan dan kelengkapan untuk tujuan pembersihan yang mana bersesuaian dengan keadaan di Surau ini. Keprihatinan para penduduk amatlah dihargai oleh seluruh warga kerja Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Sumbangan juadah juga dialu-alukan ketika program gotong royong ini. Sila berhubung dengan mana-mana AJK untuk tujuan sumbangan tersebut. Bersamalah kita menjayakannya.

Saturday 26 January 2013

Kita Mengintip Orang.. Allah Sentiasa Mengintip Kita

Satu ketika dahulu, terdapat satu profession yang menjadi buah mulut masyarakat di Malaysia. Biasanya profession ini dikaitkan dengan para isteri atau datin-datin yang mempunyai duit lebih. Profession yang dimaksudkan itu adalah 'spy'.


Dahulunya, kerja-kerja 'spy' ini dikaitkan dengan datin-datin yang mengupah seseorang untuk mengintip ke mana suami mereka pergi. Kebiasaannya pula 'spy' dilantik apabila terdapat kecurigaan terhadap si suami. Asyik balik lewat jer.. pasti si suami ada perempuan lain. Dasar lelaki gatal...!!!! Hehehe...

Zaman berubah mengikut arus kemodenan. Sekarang ni 'spy-spy freelance' semakin susah mencari makan. Mak datin dah boleh bayar bodyguard tetap untuk mengekori gerak-geri suami dengan gaji bulanan. Itu tidak cukup hebat. Spy millenium lebih dahsyat. Mereka sudah mula kerja secara 'tetap dan berpencen'. Waahhh...ade upgrade agaknya 'post' mereka rupanya. Nama pun dah tak panggil 'spy' dah. Upgrade lagi.. Maka wujudlah "**ec**l *ra**h".

Best la diorang kan. Kerja tetap dan bila cukup umur dapat pencen lagi. Kerjanya pulak tak perlu susah-susah macam pekerja alam flora. Mengintip je 24 jam. Macam seven eleven pulak. Tempat untuk diintip pula tidak lagi mencabar. Tak perlu panjat pokok, naik gunung, terjun gaung dan redah belantara. Di rumah Allah pun sudah cukup. Ish..ish..ish.. Baik jadi tok siak. Banyak 'pencen akhirat' rasanya.

Intipan menjelang kemasukan tahun 2012-2013 ini nampaknya lebih menfokuskan lokasi tempat ibadat umat Islam. Mungki penulis boleh senaraikan kebaikannya dahulu apabila pengintipan di buat di rumah-rumah Allah.

Kebaikan kerja mengintip di rumah Allah.

1)  Peluang memperolehi 27 kali ganja pahala solat dengan mengerjakan secara berjemaah. Tapi tukang intip kena la datang awal sebelum jemaah selesai mendirikan solat. Di bawah adalah antara fadhilat solat berjemaah.


2) Pengintip berpeluang untuk hadir majlis ilmu dan kuliah agama. Jarang rasanya surau/masjid buat program karaoke atau poco-poco. Setidak-tidaknya dapat juga merasa duduk di dalam taman-taman syurga.


3)  Mendengar kalam-kalam Allah yang pasti dialunkan di dalam surau/masjid. Jauhlah lebih baik daripada asyik mendengar lagu-lagu tiada unsur ketuhanan. Mudah-mudahan hati akan bergetar dan iman juga bertambah.

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah keimanan dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Surah Al-Anfal ayat 2) 

4)  Memperolehi salah satu daripada ubat hati iaitu 'berkumpullah dengan orang soleh'. Salah satu tempat berkumpul orang-orang soleh sudah pastinya di rumah-rumah Allah.


5) Dapat makan percuma. Ini kelebihan fizikal. Ada sesetangah tempat apabila terdapat program di surau/masjid, sudah tentu disediakan makan. Para pengintip yang hadir dapatlah jimatkan belanja poket pada hari tersebut. Untung kerja 'spy' zaman sekarang.

Makan free boh...!!

Rumusan kerja-kerja mengintip di rumah Allah

Cukuplah 5 kelebihan penulis senaraikan di sini. Takut nanti para pengintip confuse pula dengan 'kerja hakiki' mereka di dunia yang sementara ini. Kebanyakan mereka mungkin masih berfikiran bahawa majikan adalah punca rezeki mereka di dunia. Cerita-cerita ketuhanan tidak terlibat dalam profession mereka. MasyaAllah..

Jika sikap itu yang ada di dalam diri pengintip-pengintip tegar di rumah Allah, maka perbetulkanlah i'tiqad wahai saudaraku. Kita hanyalah pengintip yang bila-bila masa Allah akan tarik nikmat mata+telinga itu. Sedangkan Allah tidak pernah alpa walau sesaat untuk mengintip hamba-Nya. Kita semualah. Intipan Allah lagi detail. Bukan sekadar jasmani yang melaksanakan perbuatan, malah sehingga kepada hati kita yang terdetik niat baik atau jahat.

Ingatlah bahawa intipan kita sekadar laporan di dunia. Satu hari kita tetap akan mati. Saya akan mati, anda akan mati, pengintip mati, yang diintip juga akan mati. Apabila matinya kita sebagai makhluk, hanya intipan Allah Tuhan Pencipta Alam sahaja yang sahih untuk pembalasan di akhirat kelak. Maka gunakanlah akal yang waras untuk bertindak di dalam sesuatu intipan anda. Intipan anda tidak akan mengatasi kehebatan intipan Allah. Firman Allah SWT:

Surah Ali Imran Ayat 54 (Cari sendiri maksudnya)

Secara keseluruhannya, penulis tidak rasa artikel ini akan menggerunkan hati para pengintip selagi mana mereka belum menerima iman yang sebenar. Namun, sekurang-kurang satu hari nanti Allah tetap akan membuka pintu hatinya untuk kembali ke jalan-Nya. 

Penulis juga mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk hadir ke semua program yang dianjurkan oleh surau/masjid, sama ada dengan niat yang baik atau sebaliknya. Allah tetap akan bersama orang-orang yang benar walau seberat mana ujian yang dihadapi. Penulis juga ada iklan untuk anda semua ke satu majlis ilmu di Surau Wahbah Al-Zuhaily. Dijemput semua untuk hadir. Allahu Akbar...!!!





Friday 25 January 2013

Kuliah Khas Maulidur Rasul 1434H

Makluman : Kuliah maghrib khas sempena sambutan Maulidur Rasul 1434H akan diadakan pada ketetapan seperti berikut:

Tarikh:
27 Januari 2013 (Ahad)

Masa:
7.30 malam

Tempat:
Surau Wahbah Al-Zuhaily
Presint 18 Fasa R12, Putrajaya

Penceramah:
Y.Brs. Ustaz Dr. Haji Azhar bin Yaakob
Pensyarah Kanan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Sila klik untuk paparan lebih jelas

Program ini adalah anjuran bersama  BPP Wilayah Persekutuan sempena program munaqashah mereka di Kawasan Putrajaya. Semoga kita semua dapat meluangkan sedikit masa untuk menzahirkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Ayuh kita mulakan perubahan sekarang. Demi mencorak generasi akan datang yang kenal dan cinta kepada Rasulullah tanpa berbelah bahagi. Sollu 'Alaih.

Wednesday 23 January 2013

Kelebihan Selawat Ke Atas Nabi SAW


Makna perkataan: “Selawat”. Perkataan selawat berasal daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.

Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].

Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:


“Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”. (Surah al-Ahzab: ayat 43).


Hukum berselawat

Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:
1.  Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.

Arahan Membaca Selawat


Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya beribadat. Sebagaimana dalam firman-Nya di atas tadi, Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Hal ini bermakna membaca selawat itu sangat utama.

Menjunjung Sirah Nabi Muhammad SAW

Setiap tahun tanggal 12 Rabiul Awal akan menjadi satu tarikh yang sentiasa di tunggu-tunggu oleh umat Islam termasuklah di bumi Malaysia ini. Walaupun Malaysia merupakan sebuah Negara yang berbilang kaum dan agama, penghormatan yang diberikan pada tarikh kelahiran kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad SAW tidak sesekali berbelah bahagi.


Tarikh inilah bermulanya sebuah sirah seorang insan yang dimuliakan oleh seluruh umat manusia yang beriman akan utusan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Namun harus diingat, ini bukanlah satu-satu sirah insan teragung yang perlu dicatit di dalam catatan kita sebagai hamba yang mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah SWT.

Sirah Rasulullah SAW sebenarnya merangkumi begitu banyak aspek. Ianya termasuklah perihal kelahiran dan kehidupan Baginda, perbuatan seharian (yang banyak dirakam di dalam kitab Syamail Muhammadiyah), kerasulan Baginda juga adalah sejarah, pentadbiran sesebuah Negara, dakwah, tarbiyah hatta kepada mukjizat dan irhas Baginda juga adalah sejarah untuk diteladani oleh umatnya. Firman Allah SWT:

(Surah Al-Ahzab 33:21)

Di dalam ayat di atas Allah SWT telah menegaskan bahawa Nabi dan Rasul terakhir ini memilik seluruh sifat dan suri tauladan yang sempurna sebagai guideline umat Islam. Penulis hari ini berminat untuk berkongsi sesuatu yang mungkin ada di antara kita tidak pernah tahu, atau mungkin tahu tetapi tidak merasakan apa-apa atau juga sememangnya arif tentang suatu jenis sirah di dalam diri Rasulullah SAW. Perkara yang dimaksudkan itu ialah "irhas".

Pengertian dan Peristiwa Menjelaskan 'Irhas'

Ada pun irhas ini adalah suatu perkara yang hampir sama seperti mana kurniaan mukjizat ke atas Nabi SAW. Tetapi dari sudut ilmiah, irhas merupakan suatu sirah berbeza yang mana ianya terhasil daripada situasi yang berbeza juga. Mukjizat ialah perkara ajaib yang berlaku di sepanjang kerasulan Baginda, manakala irhas pula ialah perkara ajaib yang berlaku sebelum kerasulan Baginda.

Di dalam Al-Quran ada menceritakan perihal irhas ini di dalam Surah Al-Fil. Kisah peristiwa kemusnahan tentera bergajah abrahah ini dikaitkan semasa tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW yang disifatkan sebagai irhas kemunculan seorang utusan Allah yang akan menjadi penghalang kemusnahan Kaabah di Mekah. (Al-Rahiq al-Makhtum)

Di kalangan ulama' hadith pula seperti Imam Al-Baihaqi dan Imam Abu Nuaim al-Asbahani telah mengarang kitab yang khusus bagi menghimpunkan hadith-hadith berkaitan dalil kerasulan Baginda SAW seperti kitab Dala'il al-Nubuwwah. Antara irhas yang dirakamkan ialah:

i. Pada malam kelahiran Nabi, istana maharaja Rom bergegar dan sebanyak 14 buah anjungnya runtuh.

ii. Api sembahan orang majusi di Parsi tiba-tiba terpadam sedangkan ia tidak pernah padam selama 1000 tahun.

Kedua-dua peristiwa di atas dikatakan seolah-olah memberi gambaran bahawa kelahiran Nabi Muhammad SAW akan menghapuskan dua agama besar duni pada waktu itu.

Imam Ibn Kathir juga ada menyebut sebuah riwayat menarik tentang keadaan Baginda SAW semasa bayi. Menurut kebiasaan masyarakat Quraisy, bayi yang baru dilahirkan akan diberikan kepada kaum wanita Quraisy untuk satu upacara tradisi. Dalam upacara tersebut, bayi akan ditutup dengan sejenis pasu hingga ke pagi. Menjelang pagi, datuk Baginda, Abdul Mutalib pergi melihat keadaan Nabi SAW yang dijaga oleh seorang wanita Quraisy. Wanita tersebut berkata:

"Kami tidak pernah melihat keadaan sebagaimana yang berlaku kepada bayi ini. Pada waktu pada ketika melihat bayi ini, kami dapati pasu yang menutupnya telah terbelah dua dan matanya terbuka melihat langit." (Al-Sirah al-Nabawiyyah ki al-Imam Ibn Kathir).

Satu lagi peristiwa irhas yang berlaku ketika Nabi Muhammad SAW kecil, Baginda pernah didatangi oleh dua malaikat yang membelah dada Baginda. Kedua-dua malaikat itu juga telah mengeluarkan hati Baginda, membersihkannya serta memasukkan ke dalamnya iman kepada Allah SWT. (Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim dan Sunan al-Darimi).

Mempelajari Sirah Rasulullah SAW

Satu syarat untuk menjunjung sirah Rasulullah SAW ialah tidak lain dengan mempelajarinya tanpa pernah berhenti. Carilah dimana sahaja sumber yang sahih untuk kita ambil intipati sirah ini sebagai panduan hidup sebagai umatnya. Bukalah kitab-kitab yang banyak menulis mengenai sirah Baginda agar jiwa dan minda kita sentiasa terkesan dengan pengajaran kisah-kisah itu.

Antara kitab yang penulis sarankan untuk dimiliki oleh setiap umat Islam ialah Syamail Muhammadiyah. Kitab ini mencatit hadith-hadith Baginda sama ada melalui perbuatan dan pertuturan untuk dijadikan contoh sempurna seorang pesuruh Allah. Lebih sempurna jika kitab ini dipelajari dengan talaqqi bersama guru-guru yang memilik sanadnya.



Di Surau Wahbah Al-Zuhaily pula, 2 kali bagi setiap bulan akan diadakan kuliah maghrib bagi kitab Fiqh Sirah. Kuliah ini amat konsisten serta jarang dibatalkan. Kitab ini banyak mengisahkan kepentingan pelajaran sirah itu. Hadirlah pada setiap hari Isnin pertama dan ketiga setiap bulan untuk mengikutinya.


Sempena bulan Maulid yang disebut-sebut oleh kita pada ketika ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran yang sebenarnya tentang sirah kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW sehingga kewafatan Baginda. Pupuklah semangat untuk terus menimba ilmu termasuklah berkenaan sirah Baginda yang sangat luas ini. Semoga kita akan dikurniakan syafaat Nabi SAW yang berkekalan ketika Hari Kebangkitan nanti. InsyaAllah.

Sollu A'la Rasulillah

Selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


Salam Maulidur Rasul

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Ke Atas Semulia-mulia Nabi dan Rasul, Muhammad SAW serta ahli keluarga Baginda dan sahabat-sahabat Baginda sekalian.


Maulidur Rasul menjelma lagi bagi perkiraan tahun hijriah 1434H. Seperti mana kebiasaannya seluruh umat Islam akan kekal mengingati peristiwa penuh bersejarah ini di dalam kalender masing-masing. Maka tanggal 12 Rabiul Awal 1434H pastinya akan dipenuhi dengan sanjungan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily berbesar hati untuk merakamkan ucapan Salam Maulidur Rasul 1434H kepada seluruh warga Presint 18 khususnya di Fasa 18 R12 dan umumnya kepada seluruh umat Islam serata dunia.

Harus diingat bahawa, peristiwa bersejarah ini bukanlah suatu pesta atau keamatan semata-mata. Tetapi penghayatannya adalah lebih besar daripada itu. Beraraklah jika itu dapat membangkitkan perasaan cinta terhadap Baginda. Namun, jagalah batas-batas yang telah ditetapkan di dalam syariat Islam. Elakkan sambutan Maulidur Rasul yang menyebabkan kita meraih dosa seperti pergaulan bebas antara lelaki dan wanita ketika berarak, atau apa sahaja perkara yang membawa kepada kelalaian dari mentaati perintah Allah SWT.

Akhirnya, marilah sama-sama kita terus mengucapkan selawat dan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW di setiap detik waktu kehidupan kita. Semoga selawat dan salam kita yang berterusan akan melahirkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda.

Allahum Masolli A'la Saiyidina Muhammad Wa'ala Aali Saiyidina Muhammad
Sollallah Wa Sallam Alaika

"SALAM MAULIDUR RASUL 1434H"

Adakah Kita Hidup Cara Islam?

Muktahir ini, pelbagai isu sensasi wujud di dada-dada akhbar tempatan. Perbahasan yang berjuta-juta patah perkataan yang kebanyakan terarah kepada tumpuan keagamaan iaitu Islam.

Cerita-cerita ini mengundang kekerapan para mufti, ulama', tok-tok guru pondok, pendakwah dan ramai para asatizah berpeluang mencetak gambar mereka di akhbar mahupun televisyen. Dari sudut positifnya, ia suatu gejala "bermusim" yang amat sihat. Apa tidaknya, jika tidak timbul isu keagamaan ini, sudah tentu ruang-ruang media lebih dimonopoli oleh golongan artis. Memang membosankan.

Ledakan isu-isu menyentuh sensitiviti agama ini nampaknya ada hikmah. Kisah-kisah hujah berkaitan aqidah, fiqh dan siasah dapat bersaing dengan warta hiburan yang tidak pernah ada putusnya walaupun di musim ibadah bulan Ramadhan, Haji, Maal Hijrah atau Maulid Nabi. Beruntunglah kita para pembaca, penonton dan pendengar. Tidaklah dihidangkan dengan 'bidaah' dunia hiburan semata.

Inikah gaya hidup seorang Muslim? Penuh dengan pengaruh dunia hiburan..?

Mengapa Isu Agama Malatop..??

Di dalam heboh-heboh isu kalimah Allah, kafir-mengkafir, fatwa dan amanat, rupa-rupanya ramai lagi golongan masyarakat Melayu di Malaysia yang tidak memahami malah tidak berminat untuk mengambil tahu hal-hal tersebut. Boleh dikatakan ianya seolah remeh-temeh berbanding kisah-kisah gosip artis, kisah perkahwinan gilang gemilang dan juga produk-produk fesyen terbaru. Maaf jika penulis katakan, ianya biasa ada pada diri wanita kebanyakan. Itu realiti.
Isu kalimah Allah yang dicanang-canangkan melalui propaganda media.

Maka saban harilah para golongan agamawan berhujah di kalangan mereka yang dijamin mempunyai aqidah yang sama. Paling-paling tidak pun sekadar khilaf dalam memberi pendapat atau dari manhaj berbeza. Di satu pihak pula, mereka sedikit pun tidak terkesan dengan meletupnya isu-isu agama tersebut. Kehidupan mereka terus dipandukan dunia glamor artis, pemikiran barat, hiburan yang semakin menyesatkan serta warna-warni yang kian hampir kepada tergelincirnya aqidah dan rosaknya akhlak. Siapa pula sedang menangani isu ini..?

Mohon maaf jika apa yang ditulis ini menyinggung para agamawan. Penulis tidak mengatakan penulis lebih pandai, malah jauh sekali ingin dibandingkan dengan kehebatan yang ada pada para mufti, ulama dan asatizah. Cuma, hari ini penulis masih hidup sebagai pemuda yang dikelilingi gaya kehidupan bertentangan kehendak syariat. Hiburan tertebaran. Budaya barat terus menjerat. Artis glamor diangkat sebagai mentor. Ulama' dan mufti pula sama sekali tidak dikenali.

Pengaruh artis yang lebih banyak merosakkan diri remaja Islam.

Bagaimana pula isu keruntuhan akhlak dan moral itu dibahaskan oleh para agamawan? Sekadar kertas kerja di pejabat sahaja? Atau mengeluarkan statistik setiap kali tahun baru berlalu. Di mana penerapannya ke dalam jiwa anak remaja? Berbaloikah pula tiap saat digembar-gemburkan isu kalimah Allah dan amanat, sedangkan akhlak muda-mudi terus dijauhkan daripada syariat.

Hakikat sebahagian kehidupan anak melayu masa kini.

Perlukah jika dirumuskan di sini bahawa meletopnya isu-isu agama ini adalah tidak lain selain daripada ingin melihat pemuda-pemudi Islam semakin bercelaru dengan agama mereka sendiri. Ditambah sistem pendidikan yang tidak meletakkan fokus utama terhadap kefahaman Islam, bagaimana mungkin mereka akan faham konsep khilaf dalam pandangan ulama'. Ini sebenarnya isu yang perlu para mufti dan agamawan selidik.

Akhbar-akhbar hari ini bermotifkan keuntungan dan pengaruh dunia semata-mata. Mengapa perlu para alim ulama' terlibat sama di dalam kontroversi yang dicipta hasil pemikiran penjajah. Silap haribulan bukan penyelesaian agama yang kita perolehi, tetapi kekalutan generasi baru mengenal syariat Allah. Maka jalan memperbetulkan keadaan dengan hikmah adalah lebih baik bagi kami yang tidak mahir dalam ilmu agama.

Lontaran Idea Kerdil Penulis

Sama sekali penulis tidak meremehkan isu-isu yang sedang panas di dada-dada akhbar hari ini. Benar.. isu kalimah Allah sensitif bagi orang Islam. Ya.. mengeluarkan pandangan atau amanat juga besar kisahnya. Namun, jika sibuk dengan isu itu sahaja, nescaya kita akan terlepas banyak perkara. Penerapan kerohanian dimana..? Pengukuhan kefahaman agama apa cerita..? Majlis-majlis ilmu sudah dipromosi ke..? Cukupkah sekadar dipertanggungjawabkan kepada AJK masjid dan surau sahaja?

Jika ingin ditulis satu-persatu perkara yang akan kita terlepas mungkin berjela-jela. Sekali imbas seolah-olah perkara ini kecil sahaja. Sehingga kita sibuk bercerita tentang isu-isu panas tanpa penghujung. Ajak berdebat lari juga. Minta sejam tidak diberi pula...

Maka penulis rasa pertimbangkanlah pula perihalnya tentang keruntuhan akhlak dan nilai-nilai hidup bersyariat di dalam masyarakat Islam kita di Malaysia ini. Cuba buat survey, pasti ramai lagi anak muda (hatta yang lanjut usia) tidak kenal dengan sebenarnya isi kandungan pensyariatan Islam. Hal-hal fiqh hanya lepas dalam bab ambil wuduk sahaja. Itu pun ramai lagi tidak sempurna. Jangan cerita la topik-topik tassawuf dan aqidah. Silap-silap sifat 20 tinggal 13 sahaja. Allahu Rabbi..

Di mana jabatan-jabatan agama hendak meletakkan 'imej besar' mereka jika ramai lagi rakyat jelata gagal dalam basic dalam beribadah kepada Allah. Jangan ceritalah bab mempertahankan hak kalimah Allah, sedangkan mahraj sebutan kalimah Allah itu sendiri disebut dengan terbelit lidah. Inikah moral yang ada dalam diri umat Islam sejati? Astaghfirullah...

Kalaulah penulis ada autoriti untuk menyeru para agamawan, pasti perkara yang ingin penulis sampaikan ialah, carilah solusi terbaik untuk selesaikan isu-isu kefahaman agama di dalam diri umat Islam. Faktanya, mereka lebih mengenal artis daripada ulama'. Mereka lebih arif tentang gosip hiburan berbanding sirah para anbiya'. Mereka juga lebih pandai berfesyen daripada syariat sebenar berpakaian. Tidak terkecuali mereka yang sering ulang-alik ke surau dan masjid. Malangnya masyarakat kita.

Syariat berpakaian yang masih dipersendakan oleh umat Islam.

Maaf jika tersinggung

Memang benar ramai yang setuju bahawa penulis seorang yang pedas apabila berkata-kata. Mungkin sebab penulis bukan tergolong di dalam kalangan mereka yang di gelar ustaz atau alim ulama'. Ilmu agama juga tidak cukup untuk berhujah dengan nas-nas Al-Quran atau Hadith. Penulis sekadar berkemampuan menulis di atas pengamatan dunia sekeliling dengan sedikit kesedaran terhadap permasalahan umat Islam di Malaysia kebanyakannya.

Oleh itu, penulis terlebih dahulu ingin memohon maaf jika tersalah kaedah menegur dan mencelah isu yang dimainkan oleh "media tidak ilmiah" ini. Niat penulis tidak lain sekadar untuk sekalian pembaca ambil kesedaran bahawa ada isu penting yang mereka lupa untuk dibahaskan. Itulah dia pengukuhan dalam menganut agama Islam. Penulis juga cuma berharap agar peranan penting golongan agamawan peringkat atasan untuk sama-sama mencari kaedah terbaik agar seluruh masyarakat Islam di Malaysia sempurna di dalam agamanya.

InsyaAllah jika kukuhnya nilai-nilai sebenar Islam di dalam diri, pasti isu-isu agama lain yang ingin mempengaruhi jiwa umat Islam boleh diatasi dengan penuh hikmah. Seumpama bermain bolasepak, jika ada pertahanan yang kuat, pastinya penyerang lawan sukar untuk membolosi penjaga gol.

Satu lagi perumpaan dalam bolasepak yang perlu diamati. 'Man City tidak akan berjaya meraih takhta BPL jika terlalu sibuk untuk menang ke atas Man Utd, sedangkan sebenarnya mereka juga perlu mengalahkan Norwich City, Stoke, Reading serta QPR.' Fikir-fikirkan. Semoga Allah memberi jalan terbaik untuk kita faham dan menambah ketaqwaaan kepada Al-Khaliq. Waallahu'alam.

Monday 7 January 2013

Kenapa Perlu Menuding..??

Baru-baru ini, penulis terbaca satu iklan di blok penulis berkenaan kes jenayah yang masih berlaku di kawasan penduduk Presint 18 Fasa R12. Kes ini melibatkan kecurian motosikal atau 'part' di dalam sebuah motosikal. Nampaknya banyak lagi yang perlu dikaji untuk menangani isu jenayah sebegini.
Bukan jari saya

Berikutan permasalahan itu, satu memo daripada seorang penduduk telah pun ditampal di blok C. Tidak pula ditinggalkan nombor rumah atau nombor telefon untuk dihubungi. Mungkin jika ada senang juga AJK-AJK yang dilantik untuk berbincang dengan mereka yang telah mengalami masalah kecurian motosikal ini.

Di bawah ini penulis ada scan surat yang telah ditampal di papan kenyataan dan di dalam lif itu. Namun begitu, penulis terlebih dahulu memohon maaf kepada hamba Allah yang menampal memo tersebut, kerana penulis telah mencabut memo di dalam lif. Sebabnya mungkin anda boleh lihat gambar yang penulis upload di bawah nanti.

Sunday 6 January 2013

Azam Tahun Baru Di Dalam Kalender Januari 2013

Tahun 2013 dah berlalu beberapa hari. Pelbagai azam dan semangat baru telah ditanam di dalam diri setiap manusia termasuklah kita yang bertauhidkan agama Allah yang benar iaitu Islam.


Rasanya apa lagi perkara yang masih kurang di dalam azam kita pada tahun-tahun terdahulu sehingga menyuruh kita membina azam yang lain setiap kali tiba tahun baru. Berjaya dalam kerjaya..? Mengumpul harta dunia..? Menamatkan zaman bujang...? Atau apa lagi azam yang anda rasa sentiasa tidak cukup. Ya..saban tahun ia tidak akan lengkap kerana satu sebab utama. Apa dia agaknya?


Jawapannya ialah kurangnya azam menambah tingkatan iman dan taqwa di dalam diri. Betul tak..? Betul atau tidak, jawapannya ada di dalam diri kita sendiri. Mungkin tidak perlu dikongsi, tetapi hakikat ini amat kuat untuk dinafikan. Namun begitu, tidak perlu resah gundah. Masih muda 2013 ini untuk dikesali. Azam baru tidak semestinya dicipta hanya pada 1 Januari. Setiap hari azam untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa boleh kita tanamkan. Mulakan sekarang. Jangan ditangguh-tangguh lagi.

Apabila azam menuju redha Allah itu telah di tanam, ada satu perkara yang perlu kita laksanakan dengan segera untuk mencapai kejayaannya. Tambahkanlah di dalam dadamu ilmu Allah yang tidak sesekali akan putus. Tanpa ilmu, mana mungkin 'level' taqwa itu dapat kita kecapi. Berkecai sia-sia azam itu tanpa pengetahuan sebagai seorang mukmin sejati.

Oleh itu, apa kata jika kita tinjau-tinjau di sekitar kawasan kita. Mungkin di situ ada kelas-kelas pengajian ilmu yang disediakan khas untuk kita mengecap kejayaan azam ketaqwaan kita kepada Allah. Di Surau Wahbah Al-Zuhaily sendiri pastinya ada peluang itu. Jadual sepanjang Januari ini telah disusun cantik untuk kita rebut peluang menjadi hamba Allah yang berilmu. Lihat jadual di bawah.


Tugas anda untuk mencapai azam ketaqwaan kepada Allah tidaklah sesukar yang dibayangkan. Anda hanya perlu selitkan tempoh sejam sehari untuk aktiviti harian anda bagi mengikuti kuliah-kuliah dan pengajian yang disediakan di Surau Wahbah Al-Zuhaily. Jadikan ia jadual tetap di dalam diari anda. Klik gambar jadual tersebut untuk paparan yang lebih jelas dan anda juga boleh cetak dan tampal di ruangan rumah anda. Takut lupa pulak nanti.

Bagi yang ada Facebook. Janganlah sombong + kedekut sangat untuk simpan sorang-sorang jadual tu. Post la pada wall anda. Lebih cantik lagi jika setiap hari waktu kuliah atau pengajian, anda post juga di wall facebook anda yang meriah tu. Semoga yang datang menjenguk itu dapat juga info dan dibukakan hati oleh Allah untuk hadir. Anda pula yang tolong mempromosikan majlis ilmu mudah-mudahan diberi 'syer' akhirat oleh Pencipta langit dan bumi.


Ruang dan peluang telah dibuka. Keputusan tetap di tangan anda. Anda yang perlu mencorakkan azam anda yang lebih baik. Azam terhadap 'perkara' duniawi bila-bila masa boleh diberi dan boleh ditarik. Ia juga tidak kekal selama-lamanya. Jadi, pilihlah azam terbaik iaitu azam untuk menjadi hamba yang soleh, beriman dan bertaqwa kepada-Nya. InsyaAllah dengan azam dan kesungguhan tahun baru demi mencari redha Allah akan diberi ganjaran Syurga yang kekal abadi.

Sebar-sebarkanlah...

Saturday 5 January 2013

Membuka Lembaran 2013

Rasanya sedikit terlambat untuk mula membuka lembaran tahun baru 2013. Namun begitu, untuk menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baru 2013 mungkin masih diterima oleh semua rakyat Malaysia.

Surau Wahbah Al-Zuhaily sebenarnya telah pun mula merencana program untuk pengisian sepanjang tahun 2013 ini. Dimana sebagai kebiasaan, program yang dianjurkan sudah tentu ke arah membentuk masyarakat yang berilmu, beriman dan beramal soleh seterusnya menjadikan diri sebagai hamba yang bertakwa kepada Allah. Ini adalah hasil daripada mesyuarat ahli jawatankuasa surau yang bersidang baru-baru ini.



Sebagai permulaan, pihak AJK surau telah merencana program bermula Januari hingga April 2013 sahaja. Ini adalah disebabkan jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily bagi sesi 2011-2013 akan tamat tempoh kuatkuasanya pada April nanti. Oleh yang demikian, mesyuarat agung tahunan akan diadakan bagi sesi pemilihan jawatankuasa yang baru.

Itu sedikit gambaran yang boleh dijelaskan berkenaan hala tuju surau sepanjang 2013 ini. Namun, sebelum terbubarnya AJK ini, beberapa program telah pun dirancang serta beberapa penambahbaikan program sedia ada telah dibuat bagi menghidupkan rumah Allah yang dicintai ini. Apa agaknya program itu ye? Sedikit preview saya sediakan untuk muqaddimah 2013 ini.

Januari 2013

Seperti bulan-bulan terdahulu, kuliah maghrib, kuliah muslimat dan kelas pengajian tajwid Al-Quran akan terus menemui para jemaah mengikut jadual yang telah disusun. Namun begitu, penambahbaikan yang telah dirancang oleh AJK ialah dengan mewujudkan kuliah subuh yang julung-julung kalinya diadakan di surau ini selain daripada bulan Ramadhan. Lebih menarik, kuliah ini akan disampaikan oleh seorang guru yang hebat daripada Pondok Pasir Tumbuh Kelantan iaitu Tuan Guru Babo Mashadi Masyuti. InsyaAllah beliau akan membimbing kita melalui pengajian kitab 'Penawar Bagi Hati'.

Tuan Guru Babo Mashadi Masyuti

Februari 2013

Bagi bulan Februari ini, terdapat juga bulan Rabiul Awal yang saya yakin semua kita tahu peristiwa bersejarah telah tercatat di dalamnya. Ya, Maulidur Rasul SAW. Walaupun tanggal 12 Rabiul Awal jatuh pada bulan Januari, namun kehangatan sambutannya pasti berlarutan sehingga ke hujung Rabiul Awal tersebut. Maka, dengan mengambil kira pelbagai aspek, Surau Wahbah Al-Zuhaily akan menganjurkan satu program sempena Maulidur Rasul 1434H pada 7 Februari 2012. Seorang selebriti dakwah tanahair akan membuat penampilan kormesial khas untuk Surau Wahbah Al-Zuhaly pada tarikh tersebut. Jangan lupa catit di dalam diari anda.

Mac 2013

Sebelum 'parlimen' Surau Wahbah Al-Zuhaily dibubarkan secara rasmi, satu program istimewa untuk penduduk akan diadakan pada bulan Mac. Program tersebut ialah Kursus Pengurusan Jenazah yang mana melalui pengamatan kami kursus ini amat sesuai diadakan memandangkan ia adalah fardhu kifayah di dalam Islam. Nantikan makluman daripada pihak AJK surau untuk kita sama-sama sertai program yang bermanfaat ini.


Lain-lain Program

Tempoh antara Januari hingga Mac ini juga akan ada juga program-program berbentuk sosial seperti majlis tahlil, pertandingan surau futsal dan ping pong serta aktiviti-aktiviti santai yang akan dimaklumkan kelak. Paling mencuri tumpuan nanti mungkin kepada pertandingan futsal yang dirancang penganjurannya bersama Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin Putrajaya. Matlamatnya tetap satu, iaitu untuk meningkatkan taqwa kepada Allah dengan terjalinnya ukhuwah melalui sukan. InsyaAllah ini adalah platform yang sangat berguna.


Cukuplah dahulu coretan sebagai pembuka lembaran 2013 ini. Pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily amat memerlukan sokongan seluruh ahli jemaah dan penduduk Presint 18 khususnya di Fasa r12 untuk sama-sama mengimarahkan rumah Allah nan indah ini. Semoga tahun 2013 ini akan menambahkan tingkatan iman dan taqwa kita untuk digelar sebagai hamba-Nya yang soleh. InsyaAllah.