Sila Klik Nuffnang

Wednesday 31 October 2012

Terima Kasih Daun Keladi

Pada entry sebelum ini, penulis telah pun merakamkan sedikit ucapan terima kasih di atas kejayaan penganjuran program ibadah qurban di Surau Wahbah Al-Zuhaily. Namun di atas beberapa sebab, entry kali ini khas mencoretkan ucapan-ucapan terima kasih yang diterima daripada dan kepada pelbagai pihak.

Terima Kasih

Kenapa ada entry khas? Pasti ada sebabnya.. Penulis sebenarnya benar-benar rasa teruja dengan apa yang telah berlaku pada 28 Oktober yang lalu. Apa tidaknya, daripada anggaran 30 orang sahaja yang hadir (berdasarkan survey), kepada ratusan petugas + hadirin, sudah tentu ini adalah antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

Hendak dijadikan cerita pula, kami di kalangan AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily tidak putus-putus menerima ucapan tahniah dan penghargaan daripada penduduk, petugas dan orang ramai yang hadir. Oleh sebab itulah penulis merasakan bahawa perlunya penulis memanjangkan dan mengembalikan penghargaan itu kepada semua yang terlibat secara khusus. Masakan tidak, tanpa gembeling tenaga semua belum tentu program ini mencapai kejayaan seindah ini.

Baiklah..biar penulis mulakan satu persatu. Disebabkan paling hampir dengan penulis, sudah tentunya penghargaan tidak ternilai adalah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily yang tidak henti-henti berusaha menjayakan program ini. Tidak ada sedikit pun 'caj tersembunyi' yang perlu di bayar kepada mereka untuk semua perkara yang dilakukan. Paling hebat penulis rasakan ialah kesanggupan bekerja sehingga lewat malam serta di dalam hujan sehari sebelum program. Jazakumullah..

AJK Surau Wabah Al-Zuhaily & Jemaah

Keduanya penulis juga wajib memberi penghargaan penuh hormat kepada Pengerusi dan seluruh jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang bersama dari awal pelaksanaan program ini. Paling penulis tabik, pastinya tuan setiausaha KRT sebagai juga ketua chef yang telah menyediakan hidangan enak lantas dihujani dengan pujian daripada juri-juri awam yang hadir. Penceramah jemputan (Ustaz Nazir) mengadap sup tulang dan perut cicah air asam dengan penuh seleranya. Congratulation..(wah..speaking pulak).

Seterusnya, penghargaan tidak terhingga kepada Yang DiPertua dan seluruh jawatankuasa Pas Kawasan Putrajaya yang sudi memilih Surau Wahbah Al-Zuhaily sebagai destinasi melaksanakan program ibadah qurban pada tahun ini. Untuk makluman, Pas Putrajaya adalah organisasi yang menawarkan 2 ekor lembu tersebut di mana 14 individu telah pun menyertai bahagian qurban tersebut. Syukran jazilan..

Tidak lupa juga kepada pegawai-pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Putrajaya yang memberikan kerjasama yang baik kepada kami disamping menyerahkan buku panduan pelaksanaan penyembelihan untuk ibadah qurban sebagai rujukan kami. Walaupun ada sekeping "surat cinta bewarna merah" yang diserahkan kepada Pengerusi Surau, secara keseluruhannya pihak JPV memaklumkan tiada masalah besar berkenaan penyembelihan tersebut. Alhamdulillah..

Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar memberi penerangan kepada Pengerusi Surau dan para petugas qurban

Penghargaan yang paling bernilai tidak lain tidak bukan ialah buat seluruh penduduk di Presint 18 khususnya Fasa R12 yang sudi bersama kami sejak dari awal pagi sehingga lewat malam. Sedar tidak sedar, penulis sendiri merasakan terharu di atas segala komitmen anda membantu melancarkan program ini. Selain itu, sikap keterbukaan penduduk dengan membuang sifat asobiyyah dan latar belakang politik juga amat disanjung. Penulis yakin di sinilah bermulanya satu era baru sebuah 'masyarakat bandar' yang sangat dihormati jika kita mampu menolak ke tepi sifat-sifat persengketaan demi sebuah kehidupan yang harmoni. Mumtaz...Great...Cemerlang...!!!

Sebahagian petugas qurban bergambar kenangan. Tahniah..

Namun barang diingat..!! Pujian ini bukan sebagai platform untuk berbangga sepanjang masa, tetapi jadikan ianya sebagai motivasi untuk memacu sebuah masyarakat yang positif. Jangan terhenti di sini. Jauh lagi perjalanan harus ditempuhi. Pendakian ini tidak akan semudah ABC, kerana rahmat dan redha Allah meliputi seluas-luas alam.

Tahniah sekali lagi buat semua di atas keterbukaan, kesudian dan keprihatinan anda bagi menjayakan program qurban ini. Ibadah qurban adalah untuk Allah. Moga-moga Allah juga akan kurniakan limpah rahmat-Nya yang berterusan. Terima kasih daun keladi, di lain masa kita bersama lagi. Allahu Akbar..!!!

Tuesday 30 October 2012

Program Ibadah Qurban Berjaya

Alhamdulillah..segala puji dan syukur hanya layak dikembalikan kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta segala hidupan, yang mana dengannya ibadah qurban dapat dilaksanakan. Surau Wahbah Al-Zuhaily juga telah berjaya menganjurkan program ibadah qurban seperti mana yang disyariatkan itu pada tanggal 28 Oktober 2012 bersamaan hari kedua tashri' iaitu 12 Zulhijjah 1433H.


Sesuatu yang sungguh tidak diduga telah berlaku pada program qurban tersebut di mana ianya juga adalah julung-julung kali diadakan sepenuhnya di kawasan Presint 18 Fasa R12. Walaupun bahagian qurban tersebut tidaklah diuruskan oleh Surau Wahbah Al-Zuhaily, namun bermula daripada pagi sehingga lewat malam, premis surau merupakan tempat paling meriah dikunjungi oleh penduduk dan orang ramai.

Sejak dari jam 7.00 pagi lagi orang ramai dilihat telah mula berada di perkarangan Surau menanti ketibaan 2 ekor lembu dan seekor kambing untuk dilaksanakan ibadah qurban. Selesai sarapan pagi, para hadirin mula bergerak ke kawasan penyembelihan yang terletak di blok A. Tiga orang penyembelih telah ditugaskan untuk menyempurnakan ibadah tersebut dengan hampir kesemua penama qurban hadir menyaksikannya bagi meraih pahala sunat.


Kerja-kerja melapah seterusnya diteruskan dengan para petugas dibahagikan kepada 2 kumpulan utama manakala kambing yang siap dilapah segera dihantar untuk diperap khas untuk jamuan kenduri di sebelah malam. Dianggarkan jumlah kehadiran petugas, penduduk dan orang awam disebelah pagi hingga tengahari ialah hampir 100 orang. Ini merupakan sesuatu yang sangat bermakna kerana ianya adalah jauh lebih ramai daripada jangkaan pihak penganjur.


Tidak ketinggalan juga kehadiran yang membanggakan daripada muslimat dan kaum wanita yang turut sama bergotong-royong menyediakan keperluan untuk jamuan kenduri di sebelah malam. Kerja-kerja menyediakan jamuan kenduri berjaya dilaksanakan dengan lancar hasil daripada kerjasama daripada semua yang hadir pada program tersebut.


Kemuncak program di sebelah siang ialah pengagihan daging qurban kepada petugas dan hadirin yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Nazir bin Zakaria (YDP Pas Putrajaya) selaku penganjur bersama program qurban ini. Walaupun jumlah agihan tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya kegembiraan jelas terpancar di raut wajah petugas. Mudah-mudahan sedikit daging yang diterima itu menghasilkan barakah yang besar di sisi Allah SWT.


Program di sebelah malam pula diserikan pula dengan forum khas AidilAdha yang disampaikan secara santai oleh Ustaz Nazir bersama Ustaz Saharudin bin Zaini selaku moderator. Kehadiran pada sesi forum juga amat menggalakkan. Ini menunjukkan betapa sebenarnya penduduk di Presint 18 dan umumnya di Putrajaya ini dahagakan pengisian majlis ilmu di dalam diari kehidupan harian mereka.

Selepas solat isyak juga, Ustaz Nazir selaku imam memimpin laungan takbir Hari Raya AidilAdha. Malam itu juga adalah malam terakhir tashri' bagi umat Islam melaungkan takbir tanda kegembiraan menyambut AidilAdha.

Kemuncak segala program sudah tentunya jamuan kenduri AidilAdha yang menyajikan seekor kambing golek, daging qurban masak kicap, sup tulang dan juadah-juadah sampingan. Kenduri ini juga sekadar sederhana sahaja, namun ianya cukup untuk menampung hadirin yang juga diluar jangkaan penganjur. Baki daging qurban juga sempurna diagihkan pada malam tersebut oleh Ustaz Nazir.


Akhir kata, penulis merakam ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua yang terlibat di dalam program qurban ini sama ada secara langsung atau tidak langsung. Terima kasih yang tidak terhingga pastinya ditujukan kepada seluruh AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Pas Kawasan Putrajaya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan penduduk Presint 18 Fasa R12. Semoga program ini tidak berakhir di sini. Pastikan ianya berterusan pada masa-masa akan datang. Sehingga dipertemukan lagi oleh Allah SWT di dalam setiap kesempatan dan program yang mengajak kepada takwa kepada-Nya. InsyaAllah.


P/S: Lagi gambar suasana sekitar program akan dimuat naik di dalam post akan datang. InsyaAllah..

Thursday 25 October 2012

Salam AidilAdha


10 Zulhijjah 1433H bakal menjelma beberapa jam dari sekarang. Waktu ini para jemaah haji juga sedang bergerak dan berkumpul di Arafah bagi menyempurnakan salah satu rukun haji seperti mana yang telah disyariatkan.

Bagi sekalian umat Islam yang lain, waktu ini adalah menghampiri kemuncak bulan Zulhijjah. Hari Raya AidilAdha pastinya dinanti-nantikan bagi mendapat keberkatan melaksanakan ibadah pada bulan haram ini. Paling bermakna sudah tentunya bagi sekalian umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadah korban. Tidak kurang juga kemeriahan ini dirasai oleh seluruh masyarakat Muslim yang turut serta menjadikan ibadah korban sebagai platform terbaik meningkatkan tahap ketaqwaan kepada Allah.

Dikesempatan ini, saya mewakili seluruh jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily ingin mengucapkan Salam Idul Adha kepada seluruh penduduk Presint 18 dan umat Islam amnya. Dengan penuh rendah diri juga kami memohon kemaafan di atas segala kekhilafan selama ini sama ada yang disedari atau tidak. Kami juga menadah tangan mengharap agar segala apa yang dilaksanakan pada AidilAdha ini akan dikira sebagai ibadah di sisi Allah SWT.

Bagi sekalian ahli jemaah, anak qariah dan penghuni di Fasa 18 R12 yang pulang ke kampung halaman bagi menyambut Idul Adha ini, diharapkan supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya. Semoga perjalanan pergi dan balik anda akan dilindungi oleh limpah rahmat Allah.

Selain itu juga, tuan-tuan dan puan-puan sekalian dijemput ke program korban yang akan diadakan pada 28 Oktober 2012 (Ahad) yang mana penyembelihan dan gotong royong akan bermula pada jam 8.00 pagi. Pada sebelah malamnya pula sedikit kenduri akan diadakan khas buat semua penduduk disamping sedikit santapan jiwa berbentuk forum agama. Bersamalah kita mengimarahkannya.


Sekali lagi diucapkan Salam Idul Adha dan mudah-mudahan kita berjumpa di setiap program yang dianjurkan oleh Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Selamat Hari Raya AidilAdha.
Maaf Zahir dan Batin.

Wednesday 24 October 2012

Eidul Adha: Medan Dakwah Rasulullah


Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut hari raya Eidul Adha yang sinonim dengan ibadah haji dan qorban.


Ibadah haji dilaksanakan di Makkah yang menghimpunkan umat Islam seluruh dunia bagi melaksanakan rukun Islam kelima.

Ia bukan sekadar ibadah biasa, tetapi mempunyai maksud yang besar kepada kesatuan Ummah dalam mendamaikan dunia dengan Islam.

Rasulullah SAW menjadikan musim haji di zaman jahiliyah untuk berdakwah kepada kelompok kabilah-kabilah Arab yang datang daripada berbagai wilayah.

Bukan sekadar menyeru mereka memeluk Islam, bahkan mengajak mereka mendirikan negara yang melaksanakan syariat Allah SWT yang sifatnya adil untuk semua manusia tidak mengira agama dan bangsa dan juga adil kepada makhluk lain yang dipelihara dibawah pemerintahan.

Daripada satu kabilah kepada satu kabilah, sehinggalah akhirnya bertemu dengan penduduk Madinah suku Aus dan Khazraj yang menerima Islam dan bersedia menjadikan negara mereka Madinah sebagai tapak kekuasaan Islam.

Tidak lama selepas peristiwa itu, Nabi SAW telah berhijrah ke Madinah mendirikan kerajaan dan tamadun manusia yang berjaya mengeluarkan bangsa Arab daripada kegelapan jahiliyah, hidup yang porak peranda, jenayah yang berleluasa kepada kehidupan yang bersatu, maju dan sejahtera dibawah pemerintahan Islam.

Bermula daripada inilah, maka tamadun manusia itu berkembang pesat mengambil contoh tauladan pemerintahan Rasululah SAW.

Begitu juga ibadah qorban yang dilaksanakan Nabi Ibrahim AS penuh dengam ketaatan dan ujian yang berat.

Namun keimanan Nabi Ibrahim dan anaknya yang teguh menjadikan mereka manusia yang berjaya bukan sekadar melaksanakan perintah Allah dalam hal qorban, tetapi juga berjaya mendirikan kerajaan orang beriman dan mengemudinya di Mekah, Palestin dan Syam.

Daripada keturunan Nabi Ibrahim ini melahirkan nabi yang ramai dan tersebar luasnya dakwah Islam zaman berzaman sehinggalah munculnya Nabi Muhammad daripada keturunan Ismail dam Nabi Yaakub, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lain nabi yang membawa risalah Allah SWT.

Marilah kita mengambil pengajaran diatas dua peristiwa ini untuk meningkatkan keyakinan dan ketaatan kepada agama Allah SWT.

Moga-moga kita dipilih oleh Allah menjadi hambanya yang istiqamah dalam menegakkan keadilan Islam untuk kesejahteraan di muka bumi ini.


Sumber: Harakahdaily

Jemputan Ke Kenduri AidilAdha

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
 
Alhamdulillah..Segala perancangan yang diatur selama ini menampakkan tanda-tanda positif bahawa satu program ibadah korban akan dilaksanakan juga di komuniti Presint 18. Program ini adalah anjuran Surau Wahbah Al-Zuhaily dengan kerjasama penuh daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Presint 18 Fasa R12.
 
Sehubungan dengan itu, kami sebagai penganjur program ini berbesar hati menjemput semua penduduk di Presint 18 Fasa R12, R13, R8, R4 dan seluruh penduduk sekitar untuk sama-sama ke majlis jamuan Kenduri AidilAdha yang akan diadakan pada ketetapan seperti poster di bawah.

Klik untuk paparan lebih jelas


Pelbagai hidangan menarik disediakan pada majlis kenduri AidilAdha ini seperti kambing golek, daging goreng kicap, sup tulang dan juadah-juadah sampingan. InsyaAllah program ini akan bermula selepas solat maghrib pada 28 Oktober 2012.
 
Selain itu, pengagihan daging korban juga akan diadakan di perkarangan surau hasil daripada ibadah korban yang dilaksanakan di sebelah pagi. Satu forum agama khas sempena AidilAdha juga akan disampaikan oleh panel-panel hebat dari Putrajaya.
 
Bagi sesiapa yang berkelapangan juga, anda dijemput untuk turut serta di dalam gotong-royong penyembelihan dan melapah binatang korban serta memasak untuk persediaan jamuan kenduri itu nanti. Khidmat bakti anda secara sukarela ini amatlah dihargai dan mudah-mudahan ianya juga dikira sebagai satu ibadah di sisi Allah. InsyaAllah..

Thursday 18 October 2012

Penduduk Mahu Surau

Pagi ni terbaca satu berita di dalam Edisi Sentral, Berita Harian yang menarik minat penulis untuk membaca dan menghayati permasalahan yang berlaku tidak jauh dari Putrajaya. Sebagai seorang yang bertanggungjawab di dalam pengurusan Surau, tajuk berita tersebut pastinya menimbulkan banyak persoalan di minda penulis.

Petikan akhbar Berita Harian 18 Oktober 2012

Rasanya permasalahan ini pasti wujud di banyak tempat khususnya kawasan taman perumahan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Pemaju berjaya dan mengaut keuntungan hasil daripada pembinaan kawasan perumahan tersebut. Namun sayangnya, membina sebuah Surau bagi kegunaan kira-kira 4,000 orang penduduk Islam di situ tidak juga terhasil.

Ini berlaku di Lestari Perdana, Seksyen 7,  Bandar Putra Permai, Selangor seperti mana yang dilaporkan akhbar tersebut. Penduduk terpaksa mengumpul dana sendiri di samping memohon kebenaran tapak untuk menyediakan sebuah Surau. Tapak diluluskan sejak 2008 itu masih lagi sepi disebabkan kurangnya dana yang mana dinyatakan mencecah RM 450,000. Sedihnya, sepanjang tempoh 4 tahun tersebut, pihak jawatankuasa pembinaan Surau yang dinamakan Al-Maudoodi itu hanya berjaya mengumpul sekitar RM 18,000.

Disebabkan laporan inilah minda penulis ligat berputar memikirkan 2 situasi berbeza. Mari sama-sama kita lihat isi disebalik putaran minda penulis di bawah. Logik atau tidak, anda sebagai pembaca boleh menilainya sendiri.

Tuesday 16 October 2012

Lapangkan masa anda 28 Oktober nanti..

Malam tadi (15 Oktober) sekali lagi pihak Surau dan KRT telah bersama di dalam satu perbincangan ringkas AJK induk untuk program korban sempena AidilAdha 1433H. Di atas kesepakatan dan komitmen daripada semua yang hadir pada perbincangan tersebut, beberapa perkara telah pun berjaya dimuktamadkan. Alhamdulillah...
 
Sekitar perbincangan program korban.
 
Perkara yang penting ketika ini ialah pihak penganjur memerlukan penglibatan daripada para penduduk dan penghuni bagi memastikan segala perjalanan program dapat dilaksanakan dengan jayanya. Penganjur telah memutuskan bahawa sekurang-kurangnya 30 orang petugas dan sukarelawan diperlukan ketika program dijalankan.
 
Ini adalah bagi memastikan setiap tugas-tugas yang telah dipecahkan dapat dilaksanakan dengan jumlah petugas yang mencukupi. Antara tugas-tugas yang telah dibincangkan ialah:
 
1) Penyembelihan/Melapah
2) Pengasingan/Pengagihan
3) Penyediaan Jamuan Makan
4) Logistik
 
Setiap tugas-tugas tersebut memerlukan tenaga kerja yang kuat bagi memastikan ianya dapat diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan. Kerja sepasukan juga memainkan peranan penting. Oleh itu, masyarakat setempat dan seluruh penghuni adalah dialu-alukan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kerja untuk program ibadah korban ini nanti.
 
Bagi anda semua yang berkelapangan, jangan lepaskan peluang untuk turut serta sebagai penghuni yang prihatin terhadap program di peringkat komuniti ini. Tuan/puan sekalian boleh berhubung dengan mana-mana AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily atau Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi menyatakan hasrat untuk bersama kami. Semangat bermasyarakat di dalam sebuah komuniti ini pastinya akan mewujudkan kemeriahan.
 
Korban bukan hanya dengan penyembelihan. Korban masa dan tenaga anda juga insyaAllah akan dikira sebagai satu ibadah. Ayuh..lapangkan masa anda 28 Oktober nanti.

Monday 15 October 2012

Lembu Dapat.. Kambing Pun Dah Dapat..

Alhamdulillah.. Segala kerja yang baik pastinya Allah SWT akan permudahkannya. Semalam AJK tertinggi Surau Wahbah Al-Zuhaily telah pun menuju ke Dengkil untuk mendapatkan lembu dan kambing bagi program korban pada AidilAdha nanti. Cerita asal yang mengundang kesukaran akhirnya dibantu oleh Allah Yang Maha Berkuasa di atas alam ciptaannya.

Inilah dia seekor kambing yang akan dikorbankan nanti.

Beberapa minggu sebelum program korban sebenarnya pihak surau sedikit runsing kerana masih belum ada tanda-tanda lembu boleh didapati dengan harga yang dikehendaki oleh penyumbang. Harga pasaran dikhabarkan mencecah RM3,000 seekor. Itu pun destinasi lembu adalah disebelah Negeri Sembilan atau penghujung negeri Selangor. Jika begitulah harga pasaran, pihak surau pasti akan menanggung defisit yang tinggi.

Hendak dijadikan cerita, perkabaran bahawa terdapat penternak lembu di Taman Gemilang, Dengkil menyebabkan Pengerusi, Timb. Pengerusi, Setiausaha dan Bendaahari surau menerjah kawasan tersebut untuk mencari individu bernama Wak Salleh. Dijadikan lagi cerita, Wak Salleh tidak dijumpai, tetapi berjumpa dengan seseorang yang juga menawarkan lembu untuk korban dan akikah. Beliau terus membawa rombongan surau ke kandang lembu milik adiknya di Jenderam Hilir.

Timb. Pengerusi bersama lembu yang telah dipilihnya untuk korban nanti.
Inilah kuasa Allah yang kita tidak mampu jangkakan. Kami rupa-rupanya bertemu dengan seorang pengusaha ternakan lembu yang sangat mudah berurusan. Beliau telah menawarkan harga yang sangat baik kepada kami beserta penghantaran percuma ke Surau Wahbah Al-Zuhaily pada hari program korban tersebut. Semua yang berada di kandang lembu tersebut tersenyum penuh kesyukuran kerana cabaran ini dibalas baik oleh Allah Taala.

Kawasan ternakan lembu terletak di Jenderam Hilir, Selangor.
Pulang dari kandang lembu, kami singgah pula di Kampung Semarang berhampiran Jenderam Hilir untuk mendapatkan kambing. Kambing ini adalah hajat seorang ahli qariah untuk dikorbankan semasa program korban itu nanti. Kami mengikut panduan jalan yang dimaklumkan kepada abang penternak lembu tadi dan menemui signboard pengusaha ternakan kambing. Jelas ini adalah satu lagi kemudahan yang Allah berikan dengan kami.

Sdr. Firdaus sedang memilih kambing yang sesuai untuk dikorbankan.

Kami bukan sahaja berjaya mendapatkan kambing dengan harga yang baik, malah kami juga mendapat perkhidmatan kambing golek untuk jamuan makan di surau pada malam program korban itu nanti. Sesiapa yang mahu menjamu kambing golek, jangan lupa hadir ke surau nanti yer..

Bergambar kenangan di hadapan pintu masuk Janggut Ternak Farm.

Kini segala urusan mendapatkan lembu dan kambing telah pun selesai. Seperti mana tajuk entry ini, Lembu Dah Dapat..Kambing Pun Dah Dapat. Tinggal lagi, pihak surau nak dapatkan pula tenaga kerja sukarelawan untuk program korban itu nanti. Sesiapa yang berkelapangan pada 28 Oktober nanti, sudi-sudikanlah menghubungi AJK Surau dan KRT untuk turut sama melapah lembu dan kambing nanti. InsyaAllah pihak surau akan usahakan sedikit cenderahati kepada para petugas.

Semoga segala usaha dan amalan baik kita ini dipermudahkan lagi oleh Allah sehingga ke akhirnya. Jadikan program korban ini juga sebahagian daripada pengorbanan kita terhadap jalan Allah dan mudah-mudahan dirahmati oleh-Nya.

Thursday 11 October 2012

Ayah..Tak Baik Cakap "Aku"

Selesai solat Isyak berjemaah malam semalam, kebiasaannya kami beberapa orang jemaah yang 'regular' tidak terus pulang ke rumah tanpa sekelumit perbualan. Tidak kisah ianya menjurus kepada topik mudah, sederhana, high level atau sekadar senda gurau. Dari satu sudut yang positif, sikap sebegini adalah nilai murni yang baik untuk perpaduan sesebuah masyarakat Islam.

Perbualan malam tadi bersama bendahari surau amat ringkas. Hanya berceritakan perihal kewangan surau dan sedikit perbelanjaan untuk kegunaan program korban nanti. Penulis seperti biasa akan ditemani oleh teman istimewa iaitu anak sulung yang hanya akan berusia 4 tahun bulan November nanti. Abang (panggilan kepada anak penulis) malam tadi ada bersama ketika perbualan berlangsung. Mendengar perbualan 'orang tua' sambil mungkin belajar sesuatu. Inilah keistimewaan seorang kanak-kanak. Mereka mudah belajar daripada perbuatan ibu bapa atau orang dewasa disekitarnya.


Tanpa sedar, rupa-rupanya malam tadi penulis telah pun mengajar satu perbualan yang sering penulis larang daripada dilakukan oleh abang. Apabila penulis ingin memulakan perjalanan pulang ke rumah, segera abang menegur,

"Ayah..tak baik la cakap aku", penulis terdiam dan terkedu sebentar.

Wednesday 10 October 2012

Syariat Pelaksanaan Ibadah Korban

Setiap tahun apabila Syawal berlalu, umat Islam di seluruh Negara akan berkira-kira untuk melaksanakan ibadah korban seperti mana yang disyariatkan oleh Islam. Bagi sesiapa yang berhajat untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini, di sini saya kongsikan sedikit ilmu berkenaan ibadah korban tersebut. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya. InsyaAllah.

Definisi ibadah korban:


Menyembelih binatang ternakan (al-an’am) pada Hari Raya Korban (10 zulhijjah) atau pada hari-hari Tasyrik (11-13 zulhijjah) dengan tujuan beribadah kepada Allah swt. Binatang ternakan (al-an’am) bermaksud binatang yang halal dimakan, berkaki empat yang biasanya dipelihara oleh manusia sama ada; secara ladang untuk tujuan komersial ataupun secara kecil-kecilan seperti memelihara sebagai hobi untuk memenuhi masa lapang.

Binatang al-an’am adalah seperti kambing, biri-biri, kibash, lembu, kerbau atau unta. Binatang peliharaan lain seperti ayam atau itik adalah tidak memenuhi syarat berkaki empat, manakala kuda pula walaupun ia halal dimakan, tetapi ia bukan terdiri (pada kebiasaan) daripada jenis binatang peliharaan untuk tujuan penyembelihan (untuk dimakan) tetapi untuk tujuan lain seperti kenderaan atau perhiasan.

Dalil pensyariatan korban:


Firman Allah (surah al-Kauthar:2) bermaksud “Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah (korban)”

Monday 8 October 2012

Cadangan Program Qurban AidilAdha 1433H

Bulan Zulkaedah sudah menghampiri ke penghujungnya. Di mana-mana masjid dan surau pastinya waktu ini perbincangan yang paling hangat ialah perancangan pelaksanaan program bagi menyambut kehadiran Hari Raya AidilAdha yang disyariatkan dua ibadah utama. Pertamanya ialah menunaikan fardhu Haji di Baitullah dan kedua ialah ibadah qurban.

Gambar hiasan

Surau Wahbah Al-Zuhaily sebagai sebuah organisasi yang berdaftar juga telah membincangkan satu program yang berkaitan dengan ibadah qurban. Perbincangan yang telah diadakan pada 4 Oktober yang lalu mencapai persetujuan untuk diadakan program qurban di Presint 18 Fasa R12. Pihak jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) juga telah menghantar wakil pada perbincangan tersebut selain ahli jemaah dan penduduk setempat.

Hasilnya, satu program akan dilaksanakan pada tarikh dan masa seperti berikut:

Tarikh : 28 Oktober 2012 (Ahad)
Bersamaan 12 Zulhijjah 1433H
Masa : 8.00 pagi - 11.00 malam
Tempat : Perkarangan Surau Wahbah Al-Zuhaily

Sebagai makluman kepada semua, pihak surau dan penganjur tidak berkesempatan untuk membuka penyertaan bahagian bagi sesiapa yang berminat. Ini kerana pihak surau telah pun menerima 2 ekor lembu dan seekor kambing untuk dikorbankan pada hari tersebut. Dikhuatiri jika dibuka penyertaan, pihak surau dan penganjur tidak mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk melapah dan membahagikan daging yang berkuantiti besar. Pihak surau hanya akan membuka kepada sumbangan tidak melebihi 3 ekor lembu sahaja untuk tahun ini.

Berkenaan dengan program pada tarikh tersebut, pihak surau dan penganjur memerlukan sumbangan dari segi tenaga kerja daripada seluruh penduduk di sekitar Presint 18 khususnya Fasa R12. Penduduk dari fasa berhampiran seperti R13, R8, R4 dan teres juga adalah dialu-alukan. InsyaAllah pihak surau akan menyediakan sedikit cenderahati kepada semua petugas.
Tentatif dan aturcara serta pengisian lengkap sepanajng program akan dimaklumkan kelak selepas mesyuarat lanjutan program. Sumbangan para penduduk juga dialu-alukan dalam pelbagai bentuk sama ada kewangan, peralatan, bahan mentah atau apa sahaja yang boleh membantu sepanjang program tersebut. Mudah-mudahan sumbangan tersebut juga akan dikira sebagai suatu ibadah disisi Allah swt.

Harapan pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily serta pihak KRT dan seluruh jawatankuasa penganjur adalah semoga program ini dapat diadakan dengan lancar dan jayanya. Sama-samalah kita mengambil kesempatan untuk bekerja di dalam sebuah masyarakat yang harmoni seterusnya meningkatkan suasana mahabbah di kalangan penduduk. InsyaAllah...


Monday 1 October 2012

Jom Pegi Kuliah..!!

Rasanya dah terlalu lama tidak mempromosikan sebarang program ilmu yang dianjurkan di Surau Wahbah Al-Zuhaily melalui blog ini. Terlalu banyak keterbatasan sebagai seorang hamba yang lemah sehingga tidak mampu menyebarkan kepada orang ramai tentang keindahan berada di dalam majlis ilmu.

InsyaAllah.. Bermula pada hari ini, Surau Wahbah Al-Zuhaily akan kembali menghidupkan malam-malamnya dengan pengisian majlis ilmu iaitu kuliah maghrib serta program-program lain yang diatur secara berjadual. Kuliah muslimat juga akan kembali menemui para wanita-wanita solehah pada minggu ini selain kelas Al-Quran dewasa serta program riadah. Jadual lengkap program sepanjang Oktober 2012 adalah seperti di bawah.

Sila klik pada gambar untuk simpanan dan paparan yang lebih jelas.

Marilah sama-sama kita berdoa agar kita diberikan kesempatan oleh Allah untuk hadir di dalam majlis-majlis ilmu dan program yang mendekatkan kita kepada rumah Allah ini. Jika diberikan keizinan oleh Allah juga, pihak Surau akan menganjurkan beberapa lagi siri program kemasyarakatan pada bulan ini serta ceramah khas bulanan untuk santapan rohani seluruh penduduk Presint 18 khususnya Fasa R12.

Kerinduan terhadap suasana pengajian seperti ini amat mendalam.

Ayuh...jom sama-sama kita pergi kuliah yer..insyaAllah rahmat Allah sentiasa bersama kita.

Sekitar Majlis Aidilfitri SWAZ 2012

Kemuncak kemeriahan sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Surau Wahbah Al-Zuhaily pastinya pada hari kejadian iaitu tanggal 9 September 2012. Bermula sejak awal pagi lagi, para petugas telah mula mempersiapkan juadah untuk dihidang serta menyediakan tempat duduk bagi menjamin keselesaan para hadirin.

Sebaik sahaja jam menuju 11.00 pagi, hadirin telah mula memenuhi kawasan surau yang menyediakan 2 buah khemah di perkarangannya. Sedang juadah masih lagi belum tersedia kesemuanya, para hadirin nampaknya begitu teruja dengan majlis Aidilfitri tahun ini. Apa tidaknya, majlis sebegini adalah pertama kali diadakan di Surau Wahbah Al-Zuhaily atau mungkin lebih tepat pertama di dalam sejarah pendudukan Kuarters Presint 18 Fasa R12.

Anggaran kehadiran pada hari tersebut dikatakan melebihi 500 orang dengan sekurang-kurangnya 180 orang kanak-kanak turut hadir berdasarkan bilangan sampul duit raya yang habis dan tidak mencukupi. Ini adalah melebihi jangkaan dan bajet pihak surau pada asalnya. Namun kesudian pengusaha Restoran Ali Maju untuk menambah juadah pada saat-saat akhir cukup membuatkan kami menadah tangan bersyukur dengan rezeki Allah tersebut.

Soroti aksi-aksi dan suasana yang sempat dirakamkan oleh jurugambar sepanjang majlis selama 3 jam tersebut.

Persiapan terakhir juadah hari raya sebelum majlis bermula.

Orang ramai telah mula hadir ke perkarangan Surau Wahbah Al-Zuhaily menjelang jam 11.00 pagi.

Timb. Pengerusi, Ustaz Ali membaca doa sebagai pembuka majlis yang dipengerusikan oleh Setiausaha En. Mustaim.

Para hadirin mengaminkan doa sebelum mula menjamu selera.

Ratusan hadirin menjamu selera dengan suasana yang penuh harmoni.
Menu utama Nasi Beriani disumbangkan oleh Restoran Ali Maju

Pengerusi dan Timb. Pengerusi menyambut ketibaan hadirin di hadapan khemah utama.

Sebahagian hadirin di khemah utama sedang menikmati juadah hari raya.
Suasana di khemah utama.

Pengerusi menyantuni tetamu yang hadir.
Dewan solat utama juga dipenuhi dengan hadirin yang menjamu selera.

Acara yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak iaitu pemberian duit raya oleh Pengerusi dan Timb. Pengerusi.

Kesibukan mengagihkan duit raya kepada ratusan kanak-kanak yang hadir.

Pengerusi sempat menjengah ke booth makanan untuk 'pekena' satey.

Pelbagai juadah yang dihidang dibeberapa booth memberi pilihan kepada hadirin.

Team Eco Green 18 dari SMK Presint 18(1) Putrajaya (depan & berdiri 2 ke kanan) sempat merakamkan gambar bersama AJK Surau dan KRT.

Kanak-kanak sudah tentu antara yang paling gembira pada majlis hari raya ini.

Sekumpulan kanak-kanak makan secara berjemaah di dalam dewan solat Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Suasana ceria dan mahabbah wujud sepanjang majlis ini. Alhamdulillah..

Pelbagai lapisan masyarakat dapat dilihat memenuhi khemah utama di perkarangan surau.

Kehadiran tetamu berterusan sehingga jam 2.00 petang.

Sebahagian hadirin bersantai di perkarangan surau selepas menikmati juadah istimewa hari raya.

Mantan Pengerusi pertama Surau Wahbah Al-Zuhaily, Dr. Asnul (kanan) antara tetamu terakhir yang hadir pada majlis ini.

Penduduk setempat secara sukarela membantu kerja-kerja mengemas selepas majlis berakhir.

Kanak-kanak juga membantu kerja-kerja membersihkan dewan solat utama. Inilah anak-anak kebanggaan kami.

Akhir kata, Pengerusi dan Timb. Pengerusi Surau Wahbah Al-Zuhaily mewakili seluruh AJK dan warga kerja majlis Aidilfitri ini, mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah sudi menyumbang tenaga, derma ikhlas dan semua yang sudi hadir ke majlis ini. Semoga dipertemukan lagi dalam majlis-majlis akan datang. InsyaAllah...