Sila Klik Nuffnang

Wednesday 27 June 2012

Kali ini anda diberikan "AWARD"

Semalam dah tabik spring dah.. Ingatkan itu la rekod terbaik sepanjang 3 tahun. Rupa-rupanya ada lagi yang terbaik.. Bukan setakat terbaik, tapi kali pertama memecah tradisi. Hebat..sungguh hebat. Oleh itu, kali ini saya beri award khas kepada semua penghuni-penghuni blok G, Presint 18 Fasa R12. Terimalah......

Award khas untuk Blok G

Award ini memang layak untuk penghuni blok G. Apa tidaknya, inilah kali pertama sebuah blok di Presint 18 R12 berjaya memecahkan tradisi kutipan dana Ramadhan tahunan. Rekod yang dipegang oleh blok H hanya bertahan 24 jam sahaja apabila kutipan blok G berjaya menghasilkan jumlah RM 2,160.00 iaitu tertinggi setakat 3 tahun. Lebih mengejutkan, inilah kali pertama ianya mencecah angka 2k.

Penulis sebenarnya pelik dengan kutipan semalam, kerana berdasarkan statistik, penghuni blok H lebih ramai yang membuka pintu dan memberi sumbangan berbanding blok G. Kutipan pusingan pertama selepas maghrib juga hanya mencatatkan jumlah kurang daripada RM 200. Pusingan kedua membabitkan 12 tingkat rumah juga menunjukkan lebih 1/4 penghuni tiada di rumah atau tidak membuka pintu. Namun begitu, itulah hakikatnya rezeki yang Allah telah tetapkan kepada kerja-kerja murni ini.

Kesimpulannya, kebanyakan penghuni blok G yang menyumbang semalam adalah di kalangan hamba Allah yang amat pemurah. Semoga Allah akan melipat gandakan rezeki anda semua. Malam ini, AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily akan bergerak ke blok F untuk meneruskan misi kutipan dana Ramadhan. Untuk makluman, blok F merupakan blok paling banyak bilangan rumah berbanding blok-blok lain. Buktikan kepada kepada semua bahawa anda layak berada di kedudukan lebih baik berdasarkan bilangan rumah itu. Berinfaqlah ke jalan Allah demi cinta kita terhadap agama suci ini.

Ekslusif Untuk Muslimah

Surau Wahbah Al-Zuhaily melalui Biro Hal Ehwal Wanita akan mengadakan ceramah khas ekslusif untuk muslimah sempena bulan Syaaban ini. Ceramah ini akan mengupas kehebatan bulan Syaaban yang merupakan medan latihan umat Islam sebelum menanti ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Sila rujuk makluman pada poster di bawah:


Kepada semua para wanita, kaum ibu dan muslimah seluruhnya, anda dijemput untuk sama-sama merebut peluang hebat ini. Ruangkan sedikit masa untuk majlis ilmu yang banyak manfaatnya ini. Diharap agar kita semua dapat mengambil intipati yang baik hasil daripada ceramah ini.

Tuesday 26 June 2012

Wa Caya Sama Lu..!!

Rock sangat ke tajuk ni..? Sekali sekala rock takpe kot.. "Wa Caya Sama Lu..". Itu adalah reaksi paling tepat untuk dikatakan kepada seluruh warga penghuni Blok H, Presint 18 Fasa R12, Putrajaya ini. Anda cukup sporting dan sangat berani untuk memecah rekod 3 tahun kutipan dana Ramadhan Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Tabik Spring untuk penghuni Blok H

Kutipan dana Ramadhan hari pertama semalam yang dimulakan di Blok H mencatat kutipan tertinggi dalam tempoh 3 tahun bagi 1 blok iaitu sebanyak RM 1,880.00 jauh meninggalkan rekod kutipan tertinggi tahun lalu iaitu RM 1,400.00. Rekod tertinggi itu juga adalah dipegang oleh penghuni blok H. Hasil sumbangan tuan/puan penduduk yang amat mulia hati itu, memberi suntikan ekonomi yang cukup baik untuk pelaksanaan aktiviti dan program surau sepanjang Ramadhan nanti.

Pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily amat berterima kasih dengan kerjasama yang diberikan oleh penghuni blok H termasuklah penghuni yang sudi untuk mengemaskini maklumat penduduk hasil daripada usaha jawatankuasa KRT yang turut serta dalam program semalam. Dimaklumkan lebih 20 rekod baru penghuni blok H dapat dikemaskini. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat terutamanya penghuni blok H yang mungkin akan menjadi pemangkin amalan infaq di blok-blok lain.

Kepada penghuni blok G, insyaAllah malam ini kami akan meneruskan program kutipan dana ini di blok anda. Kerjasama penuh daripada semua penghuni amatlah diharapkan. Semoga infaq di jalan Allah ini akan menjadi saham terbaik kita sebagai hamba-Nya.

Monday 25 June 2012

PERHATIAN: Kutipan Dana Ramadhan

Perhatian kepada seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12, Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan kutipan dana Ramadhan 1433H dari rumah ke rumah bermula pada hari ini (25 Jun 2012) mulai jam 8.00 - 10.30 malam. Notis dan jadual berkenaan kutipan rumah ke rumah ini juga telah dikeluarkan dan ditampal di blok-blok terlibat. Sila rujuk jadual di bawah.

Jadual Kutipan Dana Ramadhan 1433H

Untuk makluman semua, kutipan dana ini dijalankan seperti mana juga tahun-tahun sebelumnya untuk memastikan Surau Wahbah Al-Zuhaily dapat beroperasi dengan baik sepanjang sambutan Ramadhan nanti. Antara kos yang perlu ditanggung ialah jamuan moreh, bayaran imam/bilal bertugas, program-program kuliah dan taddarus Al-Quran. InsyaAllah jika kutipan memberansangkan, pihak surau juga akan mengadakan program berbuka puasa seperti mana yang diadakan pada tahun-tahun sebelumnya.

Pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily memohon semua penghuni untuk memberi kerjasama penuh dalam menghulurkan dana kepada surau. Amaun kutipan tetap yang diwartakan ialah sebanyak RM10.00 bagi setiap rumah/keluarga. Sumbangan tambahan amatlah dialu-alukan. Semoga infaq yang diberikan kepada rumah Allah ini akan menghasilkan tuaian yang terbaik pada Ramadhan tahun ini. Setiap amalan sedekah pasti akan mendapat ganjaran terbaik daripada Allah.

Makluman: Program rumah ke rumah ini juga akan disertai oleh Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi tujuan pengemaskinian maklumat penghuni di Presint 18 Fasa R12. Semua penghuni diharap dapat memberi kerjasama yang baik kepada jawatankuasa yang melaksanakan tugas-tugas mereka.

Makluman tambahan: Orang ramai juga boleh menderma kepada Surau Wahbah Al-Zuhaily melalui sumbangan terus ke akuan Maybank Islamic 5-6601-0555-380.

Friday 22 June 2012

Dalam Kenangan: 10 Tahun Perginya Sebutir Permata

Tanggal 23 Jun 2012, genaplah usia 10 tahun perginya sebutir permata yang tiada galang gantinya. Seorang insan hebat di negara kita ini pergi bertemu Kekasihnya. Beliau merupakan seorang hamba Allah yang cukup tinggi nilai baktinya kepada perjuangan Islam semasa hayatnya di dunia ini. Sumbangan besarnya di dalam memartabatkan Islam di Malaysia tidak perlu dipertikaikan. Walaupun tidak pernah bergelar pemimpin negara mahupun negeri, kehebatan dan nilai akhlak yang tinggi yang ada pada dirinya cukup dihormati kawan dan lawan. Beliau yang dimaksudkan ialah Almarhum Al-Fadhil Ustaz Dato' Fadzil bin Mohd Noor.

Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor (1937-2002)

Ketika Almarhum Ustaz Fadzil menghembuskan nafas yang terakhir, usia penulis masih lagi linkungan remaja yang tidak kenal erti perjuangan Islam dan hebatnya kerja-kerja dakwah menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Namun nama Almarhum telah dikenali sejak penulis berusia kanak-kanak lagi. Walaupun di usia mentah itu, penulis memang telah diperkenalkan oleh Allahyarhamahuma ayahanda dan bonda untuk mengenali para ulama' dan pejuang-pejuang Islam di Malaysia. Kehebatan Almarhum Ustaz Fadzil telah diperhatikan sedari kecil hingga meruntun jiwa muda ini untuk menghormati beliau.

Sebenarnya, penulis tergerak hati untuk mengungkap kembali kisah-kisah Almarhum Ustaz Fadzil ini ialah ketika penulis sama-sama duduk di dalam usrah pemuda beberapa hari yang lepas. Naqib usrah membawa buku bertajuk "Aqidah dan Perjuangan" hasil penulisan Almarhum. Melalui usrah dan beberapa petikan tulisan buku itu, dengan pantas fikiran ini terkenang kepada karyawannya. Keesokannya penulis melayari internet mengimbau kisah-kisah beliau. Air mata terus bergenang dan sukar dibendung untuk segera menitiskannya. Sungguh..Almarhum sukar dicari ganti.

Aqidah dan Perjuangan

Mengingati kisah perginya mujahid ulung ini, pada tanggal 23 Jun 2002, penulis yang ketika itu sedang menuntut di Johor Bahru, antara insan paling terkesima mendengar berita sedih itu. Ibu dan ayah segera dirujuk untuk mendapatkan kebenaran. Ketika itu penyebaran maklumat tidak sehebat kini. Penulis sendiri ketika itu hanya menggunakan telefon awam untuk berhubung dengan keluarga. Setelah berita itu disahkan, alangkah sedih dan hiba rasa hati ini. Ingin sahaja ketika itu penulis menerjah ke arah utara untuk sama-sama memberi penghormatan terakhir. Namun, berbekal wang saku pelajar beserta sebuah motosikal, masakan sempat penulis tiba sebelum Almarhum disemadikan. Pilu hati ketika itu Allah sahaja yang tahu.


Penulis bukan seorang yang terlibat secara langsung dengan politik. Namun disebabkan pernah mempunyai latar belakang pendidikan agama, Almarhum pastinya salah seorang nama mujahid hebat di tanah air ini yang melekat di dada penulis. Jiwa remaja kebanyakan ini sedikit pun tidak menghalang kekaguman penulis terhadap pemimpin harakah Islamiyah itu.



Pastinya Allah telah mengangkat tinggi darjat Almarhum di kalangan para mujahidin yang taat kepada-Nya. Masakan tidak, saat hembusan nafas terakhirnya di HUKM, Kuala Lumpur, berbondong-bondong manusia hadir dari segenap pelusuk negara untuk sama-sama memberi penghormatan, menziarah, menunaikan solat jenazah hatta mengiringinya sehingga ke persinggahan terakhir di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena. Madrasah Darul Ulum ini ialah sebuah pusat pendidikan agama yang dibuka sendiri oleh Almarhum dan di atas wasiatnya, beliau ingin disemadikan di tanah itu.




Perjalanan terakhir Almarhum ke Muassasah Darul Ulum melalui jalan udara atas arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat pada ketika itu. (Almarhum menjawat jawatan ketua pembangkang di Parlimen Malaysia ketika itu). Namun, di lebuhraya dan jalan-jalan persekutuan menghala ke utara, penuh sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu untuk sampai sebelum jenazah disemadikan. Kawasan sekitar Muassasah Darul Ulum dimaklumkan mencecah ratusan ribu manusia yang memberi tanda tingginya jasa bakti Almarhum terhadap negara terutama dalam landskap politiknya. Melalui pembacaan penulis, ada yang hadir terpaksa berjalan sehingga 10km jauhnya untuk sampai ke Muassasah Darul Ulum.


Allah menzahirkan hasrat Almarhum untuk mati dalam perjuangan. Walaupun di mata kasar beliau pergi di atas katil sakit, namun dari sudut lain, beliau tetap seorang syahid di batas perjuangan Islam. Betapa tingginya nilai yang ditinggalkannya kepada gerakan Islam di Malaysia sehingga bertapaknya kuasa anak muda terhadap pejuangan Islam. Mungkin ramai yang tidak merasainya. Namun bagi penulis, mujaddid agung inilah yang mempelopori kebangkitan Islam di kalangan masyarakat sekarang. Anak muda seusia penulis kini telah mula berjuang dalam Islam. 

Solat jenazah diiringi lebih daripada 50,000 manusia, menjadikan ia mungkin yang tertinggi dalam sejarah Malaysia. Solat diulangi berkali-kali di atas permintaan orang ramai yang hadir. Wajah-wajah manusia yang hadir pastinya bergenang dan meratapi perginya seorang pemimpin yang sehingga kini tiada tandingannya.


Sikap pendengar yang baik amat dirindui oleh para ahli dan penyokongnya. Setiap lunak bicara yang lembut meruntun hati untuk kembali mencari amanat-amanat yang masih terakam di dunia maya. Almarhum tidak pernah mencaci musuhnya dengan nada keras. Bibit tutur katanya di atur indah membuatkan setiap kawan tunduk patuh dan lawannya kelu tanpa hujah balas. Pergaulannya tidak mengenal darjat dan kedudukan. Siapa sahaja bisa mendekatinya. Tangan kecil penulis pernah digengamnya dan tangannya sempat dikucup tanda hormat seorang anak kecil yang dibawa oleh Almarhum ayahanda. Hingga kini walaupun detik itu berlaku hanya sekali dalam hidup penulis, ia pasti akan dikenang selamanya. Itu sahaja pengalaman yang penulis ada bersama insan mulia ini.

Anak muda masa kini mungkin ramai yang tidak lagi mengingatinya. Namun, sama sekali tidak bagi penulis. Mengenang Almarhum Ustaz Fadzil samalah juga penulis mengingati Almarhum ayahanda yang pergi bertemu Ilahi kira-kira hampir setahun berselang. Almarhum ayahanda mempunyai gaya penampilan seiras Almarhum Ustaz Fadzil. Hingga ada di antara cucunya yang masih kecil tidak dapat membezakan antara ayahanda dan Almarhum. Kedua-duanya adalah sumber inspirasi penulis dalam kerja-kerja dakwah.

Pemimpin Islam yang sukar dicari ganti. Kami sentiasa merindui insan mulia ini.

Almarhum Ayahanda penulis bersama cucu-cucunya sebulan sebelum mengikuti jejak Almarhum Ustaz Fadzil bertemu Ilahi.

Tanah indah nan hening di Muassasah Darul Ulum menjadi saksi pertemuan mujahid ulung ini bertemu Penciptanya Yang Satu. Langit yang tenang di saat tibanya jenazah mengundang bicara bahawa sang langit turut meratapi pemergian itu. Malam yang dingin mengikuti turutan langkah terakhirnya di dunia fana ini. Tiada binaan hebat untuk pusaranya walaupun Almarhum insan hebat. Itu membuktikan zuhudnya dunia Almarhum untuk mengadap Allah dengan penuh kekayaan akhirat.

Kini 10 tahun yang berlalu perginya permata hati kebanyakan rakyat Malaysia yang cintakan agama Allah ini. Pemergiannya di saat umat Islam di negara ini masih memerlukan seorang pemimpin agung untuk membawa ke jalan yang diredhai Allah. Air mata yang mengalir bagi setiap yang merindui susuk tubuh itu belum tentu menghasilkan sebutir lagi permata. Andai juga air mata ini diganti dengan serpihan kristal sekali pun, pasti susuk itu yang penulis idamkan. Semoga Allah merahmati Almarhum dan menempatkannya di tempat hamba-hamba yang memiliki darjat tinggi. Al-Fatihah..


Dapatkan Harakah Cetak edisi Jumaat 22 Jun 2012 untuk mengikuti tribute khas 10 tahun perginya Almarhum Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor.

Wednesday 20 June 2012

SUKANEKA SURAU PUTRAJAYA 2012

Makluman kepada seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12, Putrajaya. Surau Wahbah Al-Zuhaily telah dijemput untuk menyertai Sukaneka Peringkat Surau-Surau Putrajaya yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) cawangan Putrajaya. Tarikh, masa dan tempat adalah seperti berikut:

Tarikh   :   7 Julai 2012
Masa     :   7.30 pagi - 1.00 petang
Tempat :   Padang Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya

Surat Jemputan Sukaneka JAWI

Aturcara Sukaneka


Sehubungan dengan itu, pihak surau menjemput semua untuk sama-sama menyertai acara sukaneka ini. Pelbagai acara diadakan dan peserta mestilah bertanding di atas nama surau-surau yang berdaftar di bawah JAWI Putrajaya sahaja. Kategori sukaneka ini dipecahkan kepada kategori utama seperti berikut:

Kategori Lelaki (Dewasa)
1. Lari dalam guni (6 orang)
2. Tarik tali (10 orang)
3. Terompah Gergasi (5 orang)

Ketegori Wanita (Dewasa)
1. Gubahan tuala (2 orang)
2. Anyam ketupat (3 orang)
3. Telefon berkarat (8 orang)

Kategori Remaja 13 - 19 tahun (Lelaki)
1. Lari ikat kaki (8 orang)
2. Jalan susun bata (6 orang)
3. Terompah gergasi (5 orang)

Kategori Remaja 13 - 19 tahun (Perempuan)
1. Telefon berkarat (8 orang)
2. Bawa bola ping pong dengan chop stick (8 orang)
3. Makin jauh makin sayang (2 orang)

Kategori Kanak-kanak (10 - 12 tahun)
1. Susun Puzzle (3 orang)
2. Tarik bola dalam gelung (8 orang)

Kategori Kanak-kanak (7 - 9 tahun)
1. Isi air dalam botol (8 orang)
2. Bawa bola ping pong dalam sudu (8 orang)


Sesiapa yang berminat untuk menyertai dan mewakili Surau Wahbah Al-Zuhaily dalam acara sukaneka ini boleh berhubung dengan AJK surau untuk sebarang keterangan lanjut. Surat, aturcara, peraturan dan perkara berkenaan sukaneka boleh di dapati di surau. Bersamalah kita gemilangkan Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Peringatan: Setiap peserta mestilah menutup aurat.

Monday 18 June 2012

Ayuh..Mulakan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Sekarang..

Penduduk di Presint 18, Putrajaya khususnya di Fasa 18 R12, diseru untuk mula membuat pengumpulan minyak masak terpakai secara lebih giat bagi sama-sama menjayakan Program Toyota Eco Youth (TEY) 2012 yang dianjurkan oleh UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota).

Semalam (17 Jun 2012), telah diadakan Majlis Pelancaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Umno Putrajaya, Datuk Khairudin Samad yang mewakili Ahli Parlimen Putrajaya bertempat di Dewan Serbaguna Presint 18 Fasa R12. Program TEY 2012 ini akan diwakili oleh pelajar-pelajar SMK Presint 18(1) yang menggelarkan diri mereka sebagai Eco Green 18. Tugasan pengumpulan minyak masak ini akan melibatkan komuniti Presint 18 Fasa R12 yang mana disokong bersama Kawasan Rukun Tetangga P18 R12 dan Surau Wahbah Al-Zuhaily.

Majlis perasmian yang diadakan itu turut mendapat liputan daripada akhbar-akhbar tempatan seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan Bernama. Berdasarkan maklum balas penduduk yang hadir juga menunjukkan tanda-tanda positif di mana penduduk memberi pujian terhadap usaha murni yang dilaksanakan oleh Team Eco Green 18 ini.

Utusan Malaysia 18 Jun 2012 (m/s: 30)

Berita Harian 18 Jun 2012 (m/s: 25)

Pada majlis tersebut juga, komuniti P18 R12 telah dibelkakan dengan 10 tong pengumpulan minyak masak terpakai telah diberikan oleh Alam Flora bagi memastikan program ini dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. InsyaAllah tong-tong ini akan diletakkan di blok-blok kediaman Fasa 18 R12 sedikit masa lagi. Ianya akan dimaklumkan kelak oleh pihak KRT. Penduduk juga akan lebih mudah dengan penempatan tong-tong tersebut.

JK Surau Wahbah Al-Zuhaily dengan ini menyeru sekali lagi semua penduduk untuk memberi kerjasama penuh dalam program yang baik seperti ini. Katakan TIDAK kepada pembuangan sisa minyak masak terpakai di corong-corong saliran air, kerana ianya akan menjejaskan pembentungan dan aliran air paip di kediaman kita. Inilah masanya kita untuk sama-sama menyumbang kepada terhentinya pencemaran alam sekitar.

Kepada Team Eco Green 18, pihak surau mengucapkan selamat maju jaya di dalam pertandingan ini. Tahniah juga diucapkan kepada pihak SMKP18(1) dan semua yang terlibat menjayakan program ini.

Tersentuh: Kisah Aku, Lim dan Islam

Aku punya seorang rakan baik dari zaman kanak-kanak. Lim Wei Choon. Sama-sama bersekolah rendah hingga ke peringkat menengah . Selepas SPM, aku masuk ke Tingkatan 6, manakala Lim dihantar keluarganya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Kenangan sewaktu kanak-kanak hingga ke zaman remaja terlalu banyak yang dikongsi bersama. 
Gambar Hiasan

Setiap kali hari raya menjelang, Lim pasti berkunjung ke rumah ku untuk menikmati dodol arwah ayahku yang amat digemarinya. Kadangkala, jika ada kenduri kendara di rumahku, pasti Lim akan turut serta. Aku jarang ke rumahnya kecuali untuk beberapa sambutan seperti hari jadi dan juga Tahun Baru Cina. Aku takut dengan anjing peliharaan keluarga Lim.

Dengan Lim juga aku belajar matematik manakala subjek Bahasa Malaysia sering menjadi rujukannya padaku. Kenangan-kenangan seperti memancing, mandi jeram, ponteng sekolah untuk melihat pertandingan 'breakdance', semuanya kami kongsi bersama-sama. Apa yang ingin kunyatakan ialah, warna kulit dan perbezaan ugama tidak pernah menjadi penghalang persahabatan kami. 20 tahun telah berlalu, Lim telah menetap di Amerika setelah berjaya mendapat Green Card, beliau bekerja di sana. Itu yang kuketahui dari kakaknya.

Saturday 16 June 2012

Terkini: Jerebu Di Lembah Kelang Membimbangkan

Kawasan sekitar Lembah Kelang dilaporkan telah mengalami masalah jerebu bermula Jumaat (15 Jun) di mana hampir kesemua bandar-bandar utama terjejas. Menurut laporan daripada sumber-sumber berita memaklumkan bahawa ianya adalah berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Penulis menyedari kejadian ini pada jam 12.00 tengahari 15 Jun lalu ketika mana ingin memulakan perjalanan pulang dari Morib ke Putrajaya. Keadaan di sekitar kawasan Morib dan Banting amat membimbangkan di mana jarak penglihatan tidak jauh. Setiba di Putrajaya jerebu masih kelihatan namun tidak seteruk apa yang berlaku di Morib dan Banting.

Di Kuala Lumpur hari ini, penulis sempat merakamkan keadaan terkini pada jam 3.30 petang di tengah-tengah Ibukota Kuala Lumpur di mana kebanyakan bangunan-bangunan utama tidak kelihatan dengan jelas seperti sedia kala.

Dirakamkan di Pejabat penulis di belakang Dataran Merdeka

Berdasarkan gambar di atas, hanya tiang bendera Malaysia di Dataran Merdeka sahaja yang jelas kelihatan iaitu berjarak kurang 100 meter daripada pejabat penulis. Bangunan lain kelihatan amat kabur daripada pandangan mata kasar.



Pandangan ke arah KLCC dan KL Tower

Manakala penglihatan ke arah KLCC dan KL Tower juga amat kabur sedangkan pada keadaan biasa, kedua-dua bangunan tersebut dapat dirakamkan dengan jelas.

Berikut adalah bacaaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi beberapa kawasan di Lembah Kelang yang dicatakan pada jam 11.00 pagi 16 Jun 2012.
  • Kuala Lumpur (84)
  • Petaling Jaya (85)
  • Cheras (91)
  • Shah Alam (106)
  • Perlabuhan Klang (130)
  • Kuala Selangor (131)
Berikut adalah nilai bacaan kadar pencemaran udara IPU:

Indeks Pencemaran Udara (IPU)
Sehubungan dengan itu, adalah dinasihatkan kepada semua warga Lembah Kelang terutamanya di Putrajaya yang masih belum terjejas teruk untuk terus mengikuti perkembangan masalah jerebu ini. Dilaporkan jerebu kemungkinan akan bertambah buruk selagi mana kebakaran di Sumatera belum dapat dipulihkan. Kurangkan aktiviti di luar terutamanya kanak-kanak bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan. Hentikan juga pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada berlakunya jerebu seperti ini.

Akal Kita Tidak Mampu Merungkai Misteri Ini

Pemikiran logik manusia tidak akan mampu merungkai misteri sebuah perjalanan dengan jarak 300,000 kilometer ditempuhi dalam masa 1 hari sahaja pergi dan balik.  Inilah jawapan kepada betapa kita hanyalah seorang hamba yang tidak punya apa-apa kuasa melainkan Allah SWT. Dengan kehendak-Nya, Dia mampu membawa seorang yang amat mulia merentasi pemikiran manusia untuk sebuah perjalanan yang dinamakan Isra' Mikraj.

Gambar Sekadar Hiasan

Peristiwa Israk dan Mikraj biarpun di luar pencapaian pancaindera manusia biasa, tetap diabadikan dalam al-Quran, dengan hikmah yang amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah mencipta alam ini dan membenarkan kerasulan  Nabi Muhammad s.a.w.
Firman Allah SWT:

(Surah Al-Isra' Ayat 1)


Thursday 14 June 2012

MAKLUMAN PENTING..!!!

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PENGUMPULAN MINYAK MASAK TERPAKAI

Adalah dimaklumkan bahawa, SMK Presint 18(1) dengan kerjasama Kasawan Rukun Tetangga (KRT) dan Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan satu majlis program perasmian pengumpulan minyak masak terpakai pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut:
Tarikh      :               17 Jun 2012 (Ahad)
Masa        :               8.30 – 11.00 pagi
Tempat    :               Dewan Serbaguna Presint 18 Fasa R12, Putrajaya
Majlis ini akan dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Putrajaya. Sehubungan dengan itu, kami memohon semua warga penduduk Presint 18 untuk sama-sama hadir memeriahkan majlis ini. Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan pada majlis tersebut seperti ceramah kesedaran alam sekitar, booth pameran, pertandingan kanak-kanak dan banyak lagi.
Untuk makluman semua, program ini adalah sebuah program peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan ditaja khas oleh Toyota selain mendapat kerjasama penuh daripada Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) dan Perbadanan Putrajaya. Program yang melibatkan pihak sekolah dan komuniti ini adalah untuk mengumpul data kutipan minyak masak terpakai daripada penduduk seterusnya dijadikan bahan bakar “Bio-Diesel”. Hasil jualan ini akan diserahkan kepada komuniti untuk membantu dana KRT dan Surau.
Bio-Diesel
Surau Wahbah Al-Zuhaily amat mengharapkan kerjasama daripada semua penduduk sama ada di Fasa R12, warga Presint 18 dan seluruh Putrajaya untuk sama-sama membantu program yang murni seperti ini. Penduduk juga digalakkan membawa bersama minyak-minyak masak yang terpakai di rumah untuk sama-sama memulakan pengumpulan pada hari perasmian itu. Keterangan penuh berkenaan program akan disampaikan pada majlis itu nanti. Pastikan jadual anda pada hari Ahad ini diisi dengan program tersebut.
Sila hulurkan sumbangan anda

"Disihir" Objek Bulat Di Tengah Malam

Sejak beberapa hari yang lalu, penulis dapat menyedari sesuatu perkara yang aneh berlaku di kawasan perumahan penulis. Kejadian ini berlaku sebaik sahaja jam menunjukkan waktu 12 malam. Penduduk kebanyakannya kaum lelaki seakan-akan disihir oleh sesuatu yang dikhabarkan berlaku setiap 2 tahun. Penulis antara salah seorang yang terkena 'sihir' tengah malam tersebut. Rupanya bulat sahaja tetapi ramai bapa-bapa dirumah akan menjerit 'histeria' hingga mengganggu si ibu dan anak yang sedang lena beradu.

Monday 11 June 2012

Pecah Lagi..!!!

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita sekarang ni..? Tidak habis-habis dengan masalah jenayah. Satu persatu kejadian tidak bertanggungjawab berlaku di kawasan perumahan penjawat awam Presint 18 Fasa R12 ini. Sebelum ini terdapat aduan yang melibatkan laporan polis berkenaan kejadian vandalisme terhadap peralatan bomba.
Jumaat yang lalu (8 Jun 2012), jemaah Surau Wahbah Al-Zuhaily sekali lagi digemparkan dengan kejadian tabung surau dipecahkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Lebih menyedihkan wang sumbangan jemaah yang hadir ke surau juga lesap dilarikan si pelakunya.
Pengerusi menunjukkan tabung yang telah dipecahkan

Menurut bendahari surau, kejadian ini dianggarkan berlaku pada waktu siang 8 Jun bersamaan hari jumaat (penghulu segala hari). Ini berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pada malam sebelumnya mendapati tabung berada di dalam keadaan yang baik. Tabung tersebut disedari pecah ketika mana jemaah surau selesai menunaikan solat maghrib pada hari tersebut.
Kes pecah tabung Surau Wahbah Al-Zuhaily ini telah beberapa kali berlaku dan sebanyak 3 laporan polis telah di buat di IPD Putrajaya sebelum ini. Walaupun begitu, masih lagi belum memperlihatkan aktiviti tidak bermoral ini mampu dihentikan. Modus operandi 'penjenayah' kali ini berbeza kerana mereka tidak lagi mengumpil 'solex' tabung, sebaliknya mematahkan besi pemegang 'solex' dengan kaedah melayur dengan api terlebih dahulu. Mungkin strategi ini telah dirancang lama kerana terdapat kesan bakar pada besi tersebut.
Besi yang dipatahkan oleh penjenayah

 Kunci solex tidak dirosakkan, tetapi tabung berjaya dibuka

Amatlah malang bagi kami selaku Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily kerana di saat bulan Ramadhan semakin hampir kejadian seperti ini menimpa rumah Allah nan suci ini. Sedang pihak surau giat mencari dana untuk program Ramadhan, salah satu sumber telah diceroboh oleh hamba Allah yang belum mengerti betapa beratnya dosa pelakuan sebegini.

Harapan kami semoga pihak-pihak berkuasa untuk sama membantu keselamatan dan hak-hak surau. Ini bukannya untuk kepentingan kami, tetapi untuk menjana aktiviti ummah berlandaskan petunjuk syariat. Ini juga adalah hak seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12. Mohon perhatian PDRM, KRT, SRS dan seluruh penduduk untuk menjaga infrasruktur di rumah Allah ini.

Bantulah dana dan keselamatan tabung ini.

Saturday 9 June 2012

Tolong...!! Ini bukan WALLPAPER

Keindahan dan hiasan memang suatu perkara lumrah di dalam diri manusia. Apatah lagi di zaman moden ini, ramai yang berkejar-kejar untuk memperhiasi diri, penampilan, kenderaan (kereta Kancil boleh disolek menjadi Vios), termasuk jugalah rumah tempat kita beristirehat. Islam memang mementingkan keindahan dan kebersihan rumah tidak kira di luar mahupun di dalamnya.

Waah..hebat dekorasi tuan rumah ni..

Mari kita lihat di dalam rumah yang dihiasi dengan pelbagai susun atur, dekorasi hinggalah perhiasan-perhiasan dinding seperti wallpaper dan sebagainya. Menarik bukan..? Jika kita pergi ke rumah yang penuh dengan gantungan ayat-ayat Al-Quran pasti ada yang merasa kegum dengan tuan rumah. "Alim tuan rumah ni..".


Antara hiasan ayat-ayat Al-Quran di rumah

Pasti anda biasa melihat hiasan-hiasan seperti gambar di atas di rumah-rumah saudara, sahabat, jiran atau mungkin di rumah anda sendiri. Apa pendapat anda..? Beranikah anda memaklumkan kepada tuan rumah tersebut bahawa ini bukan wallpaper.. tetapi ini adalah syariat Allah yang diturunkan kepada manusia. Apa isunya..?

Post kali ini sebenarnya ingin memetik pesanan melalui khutbah yang penulis dengar pada hari Jumaat lalu. Tajuk khutbah tersebut ialah "Cemerlang Dengan Al-Quran".  Antara petikan yang penulis berasa tertarik ialah ramai umat Islam hari ini hanya mengambil Al-Quran sebagai "kitab berkat" semata-mata. Tidak kurang juga yang berbangga mempamerkan hiasan yang mahal daripada potongan ayat-ayat Al-Quran. Walhal sebenar-benar keperluan umat Islam ialah memperlajari, menghayati, mengamal dan hidup dengan panduan Al-Quran itu.

Betapa ruginya kita jika difikirkan semula. Ayat-ayat yang bermaksud untuk membimbing kita kepada jalan Allah hanya dibiarkan kaku di dinding-dinding rumah, sedangkan kita lebih gemar mendendangkan lagu-lagu yang melalaikan. Tidak keterlaluan jika dikatakan ada yang melakukan perbagai kemungkaran di rumah sedangkan dinding rumah itu tersergam indah ayat-ayat Allah. Inilah isu yang perlu sampai kepada setiap pemilik rumah dan umat Islam amnya.

Khutbah yang penulis dengar di Masjid Negara itu juga antara lain menyeru agar kita mengambil peluang-peluang yang ada untuk mempelajari Al-Quran, baik dari segi bacaannya, tajwid, tafsir dan hafazan termasuk juga penghayatan-penghayatan Al-Quran di dalam majlis ilmu. Surau Wahbah Al-Zuhaily juga menyediakan kelas-kelas pembelajaran Al-Quran khas untuk penduduknya malah dibuka kepada sesiapa sahaja yang mendambakan keredhaan Allah yang sebenar. Maka, marilah kita jadikan Al-Quran bukan sebagai penghias dinding atau wallpaper, tetapi sebagai petunjuk dalam hidup kita sebelum bertemu Pencipta Yang Kekal Abadi.

Akhirnya, hayatilah firman Allah di dalam Al-Quran di dalam Surah Al-Israa' ayat 9 ini:


Kepada sesiapa yang tidak terdengar khutbah ini, sila kepautan di bawah untuk membaca teks khutbah jumaat ini. Kredit kepada JAKIM di atas khutbah yang baik seperti ini.



Wednesday 6 June 2012

Kuliah Muslimat "Indahnya Hidup Bersyariat"

Berita baik untuk semua para muslimat di Presint 18 dan Putrajaya, ruangan untuk menimba ilmu disediakan di Surau Wahbah Al-Zuhaily. Sila lihat poster di bawah untuk sama-sama menggali ilmu Allah yang amat luas ini.

Luangkanlah sedikit masa untuk sebuah jalan menuju redha Allah. Semoga kehidupan sekalian muslimat di Putrajaya ini sentiasa mendapat lindungan rahmat yang berterusan.

Tuesday 5 June 2012

Jadual Kuliah Maghrib 2012

Assalamualaikum wbt.

Berikut adalah jadual kuliah, pengajian dan program agama yang diadakan di Surau Wahbah Al-Zuhaily bagi bulan Jun 2012. Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas.



Program agama pada masa kini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada umat Islam dan juga bukan Islam di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Negeri-negeri jiran kita telah mengorak langkah ke arah ketamadunan masyarakat Islam yang berilmu. Putrajaya juga perlu mengikut jejak langkah sebegitu. Ramai yang telah berubah ke arah kebaikan dan meninggalkan urusan dunia yang tiada nilai di akhirat kelak. Bila pula kita akan berubah...? Tepuk dada, tanyalah iman.

Marilah bersama kita mengimarahkan majlis ilmu. Pertingkatkan ilmu, maka akan dipertingkatkan lagi kualiti ibadah serta diperkukuhkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.