Sila Klik Nuffnang

Monday 30 April 2012

JADUAL KULIAH & PROGRAM MEI 2012

JADUAL KULIAH DAN PROGRAM
SURAU WAHBAH AL-ZUHAILY
BULAN MEI 2012

(Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)

Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily menjemput seluruh ahli qariah, jemaah surau, pertubuhan-pertubuhan penduduk, ketua-ketua blok, para penghuni, masyarakat setempat, jemaah-jemaah ziarah, para musafir dan umat Islam secara amnya untuk sama-sama ke majlis ilmiah yang telah direncanakan ini. Semoga kita menjadi umat Nabi Muhammad yang sentiasa bersyukur dan subur dengan manfaat ilmu Allah yang amat luas ini. Ayuh...ramai-ramai mengimarahkan rumah Allah.

Friday 27 April 2012

Program Anak Soleh Solehah

Berita baik untuk para ibu bapa di sekitar Presint 18, Putrajaya. Surau Wahbah Al-Zuhaily akan mengadakan program khas untuk anak-anak yang diberi nama "PROGRAM ANAK SOLEH SOLEHAH". Program yang penuh manfaat ini akan dikendalikan oleh konsultant yang berpengalaman iaitu Adikku Ikhwan Event. Diharap tuan/puan tidak melepaskan peluang ini untuk memberi keseronokan beserta keberkatan sebagai seorang ibu bapa yang bertanggungjawab.

Program ini diadakan pada 5 - 6 Mei 2012 (Sabtu & Ahad) bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Banyak aktiviti menarik yang telah disediakan oleh pihak konsultant yang pastinya memberikan banyak faedah kepada anak-anak anda. Sila lihat kenyataan di bawah: 


Untuk urusan pendaftaran, sila hubungi En. Qhushairi (013-3070438) atau En. Mustaim (019-9244513). Daftar segera anak anda sekarang. Jangan lepaskan peluang yang hebat ini. Sijil penyertaan disediakan. Tempat adalah terhad..!!

Semoga Yang Terakhir Lebih Memahaminya..

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW

Hayatilah bibit-bibit penyampaian khutbah terkahir yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada kita seluruh umah Baginda. Khutbah ini telah disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah, di Lembah Uranah, Gunung Arafah. 'Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada yang terus mendengar dariku'.

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU."

Ambillah pengajaran daripada khutbah ini. Jika terdapat bibit-bibit ayat yang tidak difahami, sudi-sudikanlah diri untuk terus belajar. Carilah gedung-gedung ilmu seperti masjid dan surau untuk menerokainya. Di dalamnya terkandung banyak bab-bab dalam pengajian Islam. Semoga kita menjadi golongan terakhir yang amat memahami maksud tersirat di dalam penyampaian khutbah terkahir Rasulullah ini.

Thursday 26 April 2012

PERUBAHAN TARIKH

Adalah dimaklumkan kuliah mingguan muslimat bagi pengajian kitab Indahnya Hidup Bersyariat telah diubah tarikh daripada kebiasaan dan seperti mana jadual kuliah bulan April yang dikeluarkan sebelum ini. Pada minggu ini kuliah akan diadakan pada hari Sabtu 28 April 2012 (kebiasaan hari Ahad). Sila rujuk poster di bawah:


Oleh yang demikian, semua muslimat dijemput hadir pada tarikh tersebut untuk mengisi jadual cuti hujung minggu ini dengan penuh manfaat ilmiah. Harap tuan-tuan yang membaca juga dapat memaklumkan kepada isteri-isteri, adik-kakak dan saudara mara yang lain. Bersamalah kita menerokai ilmu Allah dengan sebaiknya.

Friday 20 April 2012

Al-Fatihah.. Ujian Buat Hamba-Nya Yang Beriman

Dipetik daripada Utusan Online

KUALA LUMPUR 18 April - Hanya Allah SWT sahaja mengetahui kesedihan yang terpaksa dilalui seorang lelaki apabila melihat sendiri isterinya digilis sebuah lori dalam kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban dekat jejambat Desa Petaling di sini pagi ini.
Lebih menyayat hati, kemalangan pada pukul 7.54 pagi itu berlaku ketika lelaki terbabit menunggang motosikal itu bersama isterinya ke tempat kerja di ibu negara.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, ketika kemalangan, motosikal itu ditunggang oleh Mohd. Ridzwan Misran, 30, manakala isterinya, Norhana Nuruddin, 30, membonceng.
"Semasa melalui tempat kejadian, motosikal Honda Wave yang ditunggang Mohd. Ridzwan telah terlanggar belakang sebuah skuter sehingga menyebabkan dia dan isterinya terjatuh di atas lebuh raya.
"Ketika itu, sebuah kenderaan yang dipercayai lori tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa. Norhana maut di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pasangan tersebut tinggal di Pangsapuri Kajang Impian, Kajang.
Katanya, polis juga sedang mengesan lori yang dipercayai menggilis Norhana untuk siasatan lanjut.
-----------------------------------------------------------------------

Penulis memohon semua pembaca memberi sedekah Al-Fatihah kepada mangsa kemalangan tersebut iaitu Almarhumah Norhana binti Nuruddin. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan hamba Allah yang beriman lagi solehah. Salam takziah buat suaminya Sdr. Mohd Ridzwan Misran di atas ujian yang tidak terhingga diberikan oleh Allah ini. Segala-galanya tidak lain hanyalah sebagai 'indikator' kepada keimanan seorang hamba terhadap Penciptanya.

Keadaan kemalangan di Lebuhraya KL-Seremban

Sebenarnya kedua-dua hamba Allah yang terlibat di dalam kisah di atas bukanlah seseorang yang dikenali penulis atau sebaliknya. Hanya semalam penulis berkenalan daripada internet tentang latar belakang dan menyingkap siapa sebenarnya mangsa yang terlibat di dalam kemalangan. Mengikut cerita di blog dan facebook, mereka tinggal di Pangsapuri Kajang Impian dan kedua-duanya bekerja di Kuala Lumpur. Suami di Kraftangan dan arwah isteri Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Anak saudara penulis pernah berkhidmat di IMR sehingga 2011.

Mengapa kisah ini dikongsi..?

Untuk pengetahuan semua, penulis sebenarnya melalui tempat berkenaan ketika mana kemalangan baru sahaja berlaku kira-kira jam 7.30 pagi. Penulis juga seperti mangsa, seorang yang terpaksa berulang menaiki motosikal ke tempat kerja di Kuala Lumpur setiap hari demi mencari rezeki yang telah ditulis oleh Allah. Melalui lebuhraya KL-Seremban adalah pilihan penulis seharian untuk ke tempat kerja. Ketika kejadian, memang penulis berhasrat untuk membantu apa yang termampu. Ini disebabkan kebiasaannya kami sebagai penunggang motosikal simpati dengan rakan seperjuangan di lebuhraya dan bantuan akan diberikan sebagai tanda kami juga berisiko seperti mangsa. Namun keadaan mangsa (Norhana) ketika itu benar-benar membuatkan penulis bergetar satu badan. Kecederaan yang dialami mangsa tidak pernah dilihat penulis secara live dan itu menyebabkan penulis membatalkan hasrat untuk berhenti.

Sepanjang perjalanan sehingga ke pejabat, penulis menghadapi perasaan yang bercampur-baur. Pertamanya sudah tentu bayangan kecederaan yang membawa maut kepada mangsa. Kedua, penulis teringatkan keadaan suami mangsa yang kelu menghadapi situasi berkenaan di depan matanya sendiri. Penulis rasa seolah penulis perlu berhenti memberi kekuatan kepada suami mangsa untuk bersabar, namun penulis tidak mampu menanggung perasaan gerun di dada. Penulis sangat kesal tidak menyumbang sesuatu kepada suami mangsa sebagai insan yang berisiko sama seperti penulis dan penunggang-penunggang motosikal lain.

Selain itu, penulis juga terbayang jika situasi itu berlaku kepada penulis yang saban hari melalui celah-celah kesesakan di kotaraya Kuala Lumpur. Suatu masa dahulu juga penulis pernah perulang dari Putrajaya ke Kuala Lumpur bersama isteri tercinta. Takdir Allah, isteri penulis kini telah berkhidmat di Putrajaya.

Situasi ini paling menyayat hati penulis. Semoga Sdr Ridzwan tabah.

Melalui pembacaan penulis di facebook, Sdr Ridzwan merupakan salah seorang imam di surau/masjid tempat tinggal beliau. Arwah isterinya juga seorang yang mempunyai latar belakang agama yang baik dan Y.Bhg. Ustazah Siti Nor Bahyah juga di dalam facebook miliknya mengenali Almarhumah. Inilah dikatakan ujian bagi orang-orang dekat dengan Penciptanya dan sering berada di jalan-jalan Allah. Semoga ujian ini bukan penyebab berpalingnya kita daripada terus melaksanakan kerja-kerja dakwah, mengimarahkan rumah Allah dan sentiasa teguh beriman kepada-Nya.

Berhati-hati di jalan raya.

Dari Allah kita datang, kepada-Nya juga kita akan dikembalikan. Di sini penulis ingin menyeru kepada seluruh warga Presint 18, Putrajaya dan khas untuk anak qariah Fasa 18 R12 yang menjadi pengguna lebuhraya untuk sentiasa berhati-hati di jalan raya. Bagi yang senasib dengan penulis sebagai penuggang motosikal jarak jauh, atur masa perjalanan anda dengan baik dan tidak terkejar-kejar ke tempat kerja. Kesihatan dan kecergasan badan hendaklah dijaga bagi memastikan anda di dalam keadaan selesa ketika menunggang motosikal. Berdoalah kepada Allah setiap kali ingin memulakan perjalanan serta tidak lupa sentiasa berzikir sepanjang perjalanan semoga Allah melindungi kita dari bahaya yang tidak diduga.

Al-Fatihah buat mangsa yang telah pergi menemui Penciptanya.

Almarhumah Norhana (kanan) disamping suami (dua dari kanan)

Jiwa Kacau..? Jom Cari Penyelesaiannya

Anda menghadapi masalah jiwa yang kacau..? Atau anda selalu berhadapan ketidakpastian dalam membuat sesuatu keputusan..? Masih mencari-cari kehidupan sebenar? Atau mungkin juga jiwa anda bergelojak tanpa diketahui punca dan sebabnya..? Mari kita periksa sama ada kita benar-benar sedang menghadapi kekecauan jiwa atau jiwa kita sebenarnya kosong..

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) dan Nisa' Putrajaya sekali lagi menganjurkan program ilmiah khas untuk para wanita dalam mengupas isu-isu yang sering dihadapi oleh muslimah masa kini. Surau Wahbah Al-Zuhaily mengalu-alukan para wanita yang menyatakan syahadah kepada Allah dan Rasul-Nya untuk sama-sama hadir ke program tersebut. Jiwa-jiwa yang kacau pasti akan ditenangi dengan ayat-ayat Allah.


Terlalu jauh untuk anda ke Masjid Tuanku Mizan..? Tiada kenderaan? Terkejar-kejar dengan urusan harian rumahtangga..? Jangan risau kerana pastinya alasan-alasan itu membuatkan jiwa anda kacau. Mudah sahaja jawapannya. Surau Wahbah Al-Zuhaily juga mengadakan program ilmiah khas buat jiwa-jiwa wanita muslimah, pada tarikh dan masa yang sama. Hadirkan diri anda jika ingin memastikan jiwa anda sentiasa segar dan jauh dari segala kekacauan pancaroba dunia. Jom ke kuliah..!!!

Kuliah Muslimat di Surau Wahbah Al-Zuhaily


Road Show Rukun Tetangga

* Sebelum dibaca selanjutnya, penulis ingin memaklumkan bahawa rukun tetangga bukanlah jenis-jenis rukun yang terdapat di dalam mana-mana perlembagaan persekutuan atau pun termaktub di dalam Al-Quran. Maknanya ia tidak sesekali boleh dibandingkan dengan Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara. Rukun Nikah pun tiada kena mengena dalam hal ini. (Sekadar berseloroh sahaja) Ianya adalah sebuah badan yang bertindak untuk memastikan tetangga (kawasan kejiranan) menjadi rukun dan damai.


Sudah lama sebenarnya para penduduk di Presint 18 Fasa R12 menanti-nanti kehadiran Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk membuat suatu event yang melibatkan para penduduk di Fasa 18 R12. Alhamdulillah bermula pada 16 April yang lalu pihak KRT telah pun bergerak dari blok ke blok secara berperingkat untuk beramah mesra bersama penduduk dan mendapatkan apa-apa maklum balas daripada penduduk. Selain itu, pihak KRT juga mengambil peluang ini untuk melantik ketua-ketua blok yang disokong oleh para penduduk yang hadir secara sistem demokrasi.

Penulis sempat meluangkan masa selepas solat isyak berjemaah di surau pada malam rabu yang lepas dan menyertai perjumpaan mahabbah yang dianjurkan oleh KRT ini. Nampaknya feed back yang diberikan oleh penduduk jauh lebih baik berbanding program yang dianjurkan surau. Tahniah kepada KRT di atas usaha murni mereka ini. Maklumlah, suasana hidup di Putrajaya ini memang memerlukan daya kerja yang lebih untuk menarik penduduk dalam sesuatu komuniti. Lebih-lebih lagi bagi kawasan yang masih muda sekitar usia 3-4 tahun seperti Fasa 18 R12 ini. Kalau terlalu mengharapkan orang datang ke lokasi KRT sebelum ini memang sedikit sukar memandangkan kesibukan hal-hal lain di dalam diari harian penduduk. Ini juga yang dialami oleh Surau Wahbah Al-Zuhaily walaupun mengimarahkan rumah Allah itu adalah lebih dituntut dan fardhu kifayah bagi lelaki Muslim.

Pengerusi KRT sedang memberi taklimat

Antara penduduk di blok C yang hadir

Sepanjang perjumpaan tersebut, beberapa perkara yang telah disampaikan ialah taklimat berkenaan fungsi KRT dan Skim Rondaan Sukalera (SRS). Pihak KRT juga menyeru supaya para penduduk melibatkan diri dengan program yang diadakan serta menyertai sukarelawan SRS demi keselamatan kawasan penduduk Fasa 18 R12. Disamping itu, KRT juga melantik ketua-ketua blok melalui sesi road show ini. Ketua blok berperanan sebagai ajen khas KRT di dalam sebarang permasalahan yang berlaku di kalangan penduduk.

Skim Rondaan Sukarela (SRS)

En. Amrul (2 dari kanan) dilantik sebagai ketua blok C

Pihak AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily sekali lagi merakamkan ucapan tahniah di atas kesungguhan pihak KRT untuk melaksanakan program mahabbah ini sepanjang 8 hari. Kehadiran penduduk yang puratanya mencecah 30-40 orang di setiap blok amatlah menunjukkan pencapaian yang baik. Bayangkanlah jika setiap hari jumlah ini dapat dihimpunkan di dalam solat-solat berjemaah dan kuliah agama. Pastinya lebih berkat kawasan penduduk kita serta boleh dikira berjaya dunia dan di akhirat.

Akhirnya, besarlah harapan kami sekiranya kejayaan program ini dapat diperluaskan lagi dengan memantapkan institusi keagamaan dan kerohanian seperti penganjuran bersama program-program ilmiah selain dapat memupuk minat dalam pengimarahan rumah Allah. Ketua-ketua blok yang dilantik juga diharap dapat sama-sama hadir ke surau bagi lebih mendekatkan diri dengan penduduk sekitar. Kejayaan di dunia pastinya lebih meriah jika dibajai oleh kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya serta mengembalikan hak keistimewaan yang diperolehi kepada Allah Tuhan Sekalian Alam.

Monday 16 April 2012

Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut Mengancam Anak-Anak Kita

Sehari dua ni ada terdengar kes Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut (PKTM) yang menular di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak. Penyakit yang dikaitkan dengan bayi dan kanak-kanak ini merupakan satu virus berjangkit yang meresahkan hati ibu bapa jika anak mereka salah seorang yang menghidapinya. Kebiasaannya kanak-kanak tersebut akan diminta menjalani proses kuarantin selama 7 - 10 hari mengikut keadaan kes sama ada normal, separa kritikal dan kritikal.

Namun begitu, tahukah anda bahawa selain di Sabah dan Sarawak dimanakah kawasan yang ketika ini sedang bertebaran jangkitan PKTM ini? Jawapannya ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya. Pelik kan.. Tidak pernah lagi berita berkenaan wabak PKTM ini disebarkan melalui berita televisyen mahu pun akhbar bahawa ianya sedang menular di Putrajaya. Hal ini mungkin terpaksa dilindungi bagi menjaga status Putrajaya sebagai kawasan penempatan elit dan menempatkan pusat pentadbiran Negara. Perkhabaran PKTM hanya diketahui oleh ibu bapa anak yang dijangkiti, klinik kesihatan awam/swasta, pengusaha-pengusaha taska, pengasuh dan juga ibu bapa yang terpaksa bercuti kerana taska anak mereka ditutup atas sebab kes PKTM ini.

(Penderitaan bagi seorang bayi & kanak-kanak)

Saturday 14 April 2012

Tiada Tuntutan Untuk Solat Berjemaah..

Hasil daripada semakan dengan Jabatan Agama Islam negeri-negeri seluruh Malaysia mendapati solat berjemaah di masjid dan surau tidak menjadi tuntutan sama sekali. Hal ini telah pun disepakati oleh ulama'-ulama' seluruh dunia bagi memastikan permaslahan umat dapat diselesaikan dengan baik. Maka dengan itu tidak perlu bagi seseorang nazir di masjid dan surau resah dengan memikirkan kaedah bagaimana untuk menarik penduduknya hadir sama-sama mendirikan solat secara berjemaah di masjid atau surau mereka.

Dituntut atau tidak..?

Oleh yang demikian, fahamilah anda bahawa garis panduan jelas telah ditunjukkan kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau mengenai mengapa tiada tuntutan tersebut. Penjelasan dibawah boleh merungkai permalasahan tersebut.

Thursday 5 April 2012

GEMPAR: Misteri Jemaah Ghaib..?!!

Menggemparkan apabila seorang pegawai di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan mengenai isu misteri jemaah-jemaah ghaib di dalam satu post melalui laman facebook miliknya. Post berkenaan disiarkan secara umum kira-kira hampir sebulan yang lalu dan pelbagai pihak memberikan komen serta pandangan peribadi masing-masing. Lebih mengejutkan lagi, entry tersebut dengan jelas menyebut dimana lokasi kejadian tersebut berlaku. Ianya menyebabkan para jemaah yang sama-sama bersolat di masjid/surau berkenaan tertanya-tanya dan secara tidak langsung pihak berwajib mula membuat siasatan akan kebenaran dakwaan pegawai JAKIM tersebut.

Ini adalah sedikit cetakan skrin (print screen) yang diambil daripada wall laman facebook milik Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM tersebut.

Monday 2 April 2012

Jom Kuliah Sepanjang April 2012

Sepanjang bulan April 2012 ini, pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily telah menyediakan pelbagai juadah istimewa untuk dijadikan santapan rohani semua ahli qariah dan jemaah. Jiwa yang sentiasa kelaparan dan dahaga pasti akan menikmati setiap satu hidangan dengan penuh keterujaan. Jiwa-jiwa ini sudah tentunya dipenuhi dengan penuh rahmat daripada Allah S.W.T yang tidak terhingga.

Marilah kita membawa bersama jiwa-jiwa tenang ini menghadiri majlis ilmu sebagai satu pengisian tetap di dalam diari harian kita. Susun aturlah jadual kita sebaik mungkin agar kita tidak menjadi orang-orang yang ketinggalan dalam menuntut sesuatu ilmu. Jadual kuliah di bawah diharap dapat membantu anda menikmati hari-hari terbaik sepanjang April 2012.

Jom hadiri kuliah dan majlis ilmu..!!!

(Sila klik dan save untuk simpanan peribadi anda)

P/S: Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan kitab-kitab pengajian bagi setiap kuliah yang diadakan, sila berhubung dengan mana-mana AJK surau untuk tujuan pembelian. Anda juga boleh menyumbang dengan pembelian melalui pihak surau. Jangan ketinggalan untuk memiliki sumber-sumber ilmu yang bermanfaat ini.