Sila Klik Nuffnang

Tuesday 31 January 2012

Jawatan Kosong (Putrajaya)

Dimaklumkan kepada semua, bahawa terdapat maklumat yang menyatakan masih terdapat jawatan-jawatan kosong yang belum diisi sehingga penghujung tahun 2011 di premis-premis kerajaan seluruh WP Putrajaya. Statistik menunjukkan lebih daripada seratus kekosongan tidak diisi di dalam sesebuah premis tersebut. Mungkin anda adalah orang yang bertuah untuk menjawat jawatan tersebut. Warga Putrajaya adalah diberi keutamaan. Sila rujuk kepada iklan yang tertera dibawah.


(Sila klik untuk paparan lebih jelas)

JADUAL KULIAH & PROGRAM FEBRUARI 2012

Assalamualaikum wbt. Salam Sejahtera buat seluruh penduduk Presint 18 Fasa R12, penduduk sekitar (Presint 18 & Putrajaya), sahabat-sahabat dari seluruh pelusuk dunia dan pengunjung-pengunjung blog.

Berikut adalah jadual kuliah maghrib, kuliah muslimat dan lain-lain program Surau Wahbah Al-Zuhaily bagi bulan Februari 2012. Semoga tuan-tuan dan puan-puan berkesempatan untuk hadir mengimarahkan majlis-majlis ilmu tersebut. Sekiranya terdapat pindaan atau tambahan apa-apa program akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Mohon war-warkan juga kepada semua yang tidak berkesempatan melawat blog ini. Jazakallah..

(Klik pada gambar untuk paparan lebih besar)

Saturday 28 January 2012

Mana Lebih Berharga..?

Di dalam arus kemodenan hari ini, ramai di kalangan manusia yang terus-terusan mengejar kemewahan hidup dan mencari-cari harta dunia yang seakan-akan terlalu tinggi nilainya. Manakan tidak, kehendak kepada pemilikan rumah yang besar, kereta yang mewah, pakaian yang berjenama hatta kepada gadget komputer yang canggih seperti i-pad, notes dan sebagainya menyebabkan kita sentiasa berlumba untuk up to date diri mengikut perkembangan teknologi.


Firman Allah dalam Surah Al-Isra' di atas bermaksud:

"Dia (Iblis) berkata: 'Terangkanlah kepadaku inikah orangnya (Nabi Adam) yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar aku akan sesatkan keturunannya (manusia), kecuali sebahagian kecil.' Allah berfirman: 'Pergilah, barang siapa di antara mereka (manusia) yang mengikutimu (Iblis), maka sesungguhnya neraka jahanam adalah suatu pembalasan yang secukupnya.' Dan hasutlah sesiapa yang kamu (Iblis) sanggupi di antara mereka (manusia) dengan ajakanmu, dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan berserikatlah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan berilah mereka janji. Dan tidak ada apa yang dijanjikan oleh Syaitan kepada mereka melainkan tipu daya belaka." (Al-Isra' : 62-64)

Kehendak akan harta

Maha benarlah apa yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran bahawa Iblis dan Syaitan adalah perancang utama kepada kehendak manusia yang pelbagai sehingga mana manusia lupa akan peranan sebagai khalifah di muka bumi ini serta tanggungjawab utama mengabdikan diri kepada Allah dengan sifat penuh kehambaan. Inilah punca mengakibatkan kita sering berkehendakkan sesuatu yang berlebih-lebihan di dunia sementara ini, yang mana akhirnya kita leka dengan hasutan Syaitan. Hayatilah betapa pedihnya balasan (neraka jahanam) yang akan diperolehi oleh pengikut-pengikut Syaitan ini.

Tidaklah sekali-kali ingin dinyatakan bahawa tidak perlu kepada mencari harta di dunia ini. Cuma sekadar memperingati diri dan sahabat-sabahat bahawa mencari harta kekayaan dunia adalah perkara yang dituntut berseiring dengan tuntutan berjihad dan berbakti di jalan Allah. Jika tidak, masakan Abdul Rahman bin Auf menjadi contoh orang-orang kaya di dalam Islam. Sahabat Nabi Muhammad SAW ini merupakan tunjang yang penting dalam pembangunan Islam di muka bumi dengan banyak sekali menyumbang (infaq) hartanya di jalan Allah. Maka, carilah harta dunia sebaiknya dengan syarat hati sentiasa bersyukur dengan kurniaan rezeki Allah seraya mengembalikan ia kepada jalan-jalan Allah.

Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertaburanlah kamu di muka bumi, dan carilah kurniaan Allah, dan ingatlah kepada Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu memperoleh keuntungan (dunia dan akhirat)." (Al-Jumu'ah: 10).

Mana lebih berharga

Berdasarkan ayat ini, maka sesungguhnya dapat difahami bahawa Allah menyuruh manusia mencari harta kurniaan Allah di muka bumi ini dengan syarat hati tetap kukuh memperingati-Nya serta menjadikan ibadah perkara utama terlebih dahulu seperti mana pelajaran yang diperolehi daripada kisah Abdul Rahman bin Auf. Maka, siapalah kita? Apakah harga kita di dalam perjuangan di jalan Allah? Mana lebih berharga..?

1) Memiliki harta yang pelbagai melebihi daripada mencukupi, tetapi sedikit pun tidak dikembalikan kepada jalan-jalan Allah.

2) Memiliki harta yang mencukupi, tetapi terus mencari kemewahan tanpa langsung memikirkan sumbangan ke arah jalan Allah walau sedikit pun.

3) Tidak memiliki harta, dan terus-terusan melupai Allah atau langsung tidak digunakan masa serta kudrat untuk berbakti di jalan-Nya.

4) Memiliki harta yang melimpah ruah, dalam masa yang sama tidak jemu-jemu menyalurkannya di jalan Allah tanpa ada rasa kerugian serta bersyukur dengan nikmat-Nya.

5) Memiliki harta yang sekadar mencukupi, tetapi masih mampu mengembalikannya ke jalan Allah dengan penuh nikmat kesyukuran.

6) Tidak memiliki harta, tetapi setiap kali mempunyai masa, akan digunakan untuk berbakti di jalan Allah serta terus-terusan bersyukur akan nikmat apa yang ada.

Ini antara pilihan jawapan yang perlu kita pilih sebagai hamba Allah di muka bumi indah ini. Pilihlah dimana yang lebih dirasakan berharga. Tiada paksaan oleh mana-mana makhluk yang ditadbir oleh Allah, bahkan Allah sentiasa membuka jalan supaya memilih melalui jalan keimanan terhadap-Nya.

Hulurkan Sumbangan

Jika masa dan tenaga tidak termampu diterjemahkan ke jalan Allah, gunakan apa sahaja alternatif yang ada. Di sini anda tetap berpeluang berbakti kepada jalan Allah walaupun dalam bentuk yang kecil, tetapi amat berharga. Hulurkanlah sumbangan anda.




Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah al-Zuhaily

(Gambar sebahagian daripada AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily)

Seperti mana organisasi pentadbiran surau dan masjid yang lain, Surau Wahbah Al-Zuhaily (SWAZ) juga merupakan sebuah organisasi yang ditadbir oleh satu jawatankuasa yang dilantik secara sah melalui sesi pemilihan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Pada April 2011, AGM yang kedua telah berjaya diadakan untuk melantik ahli jawatankuasa SWAZ bagi sesi 2011/2013. Pemilihan ini juga adalah bagi menggantikan Jawatankuasa Penaja yang ditubuhkan pada Februari 2009. AGM ini telah berjaya menarik kehadiran hampir 500 orang penduduk dan hasilnya satu jawatankuasa telah dibentuk dengan sistem yang demokratik lagi teratur.
  
 




(Beberapa gambar ketika AGM ke-2 Surau Wahbah Al-Zuhaily)


Berikut adalah senarai penuh Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily sesi 2011/2013:

Pengerusi
Encik Abdul Azim bin Abu Ziden

Timb. Pengerusi
Encik Mohd Ali bin Sulaiman

Setiausaha
Encik Mustaim bin Haji Mat
  
Pen. Setiausaha
Encik Rosli bin Yaacob
  
Bendahari
Encik Mohd Rizal bin Abd Aziz

Pen. Bendahari
Encik Muhammad Izham bin Ahmad

Biro Dakwah & Pendidikan
Ustaz Abdul Muhaimin bin Mahmood

Biro Kebajikan & Khairat
Encik Mohd Ariffin bin Haji Abd. Karim

Biro Ekonomi
Ustaz Muhammad Hijaz bin Ramli

Biro Penerangan
Encik Mohd Fikri bin Abd Manaf

Biro Kebersihan & Keceriaan
Encik Mohd Firdaus bin Mohd Noor

Biro Sukan & Sosial
Encik Mohd Haziman Nizam Fitri bin abd Rahman

Biro Hal Ehwal Wanita
Puan Salmah binti Salleh

Wakil Blok A
Encik Mohd Subki bin Haji Hassan

Wakil Blok B
Encik Salzeli bin Salim

Wakil Blok C
Encik Ahmad Fadil bin Basar

Wakil Blok D
Encik Mohd Bakhtiar bin Samad

Wakil Blok E
Tiada/Kosong  (Dipangku oleh En. Mohd Bakhtiar bin Samad)

Wakil Blok F
Encik Mohamad bin Mahmood

Wakil Blok G
Encik Mohd Naim bin Jan

Wakil Blok H
Encik Mahadzir bin Ismail

PERANAN & TANGGUNGJAWAB WAKIL-WAKIL BLOK

Bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan penduduk Presint 18 Fasa R12, ingin saya mengulas serba sedikit tentang peranan dan tanggungjawab wakil-wakil blok yang telah dilantik. Ini adalah berikutan banyak salah faham telah berlaku antara tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh wakil blok lantikan surau dan juga wakil blok yang melibatkan kesatuan penduduk atau rukun tetangga.

Sebenarnya, lantikan wakil blok ini adalah berfungsi sebagai perantara atau penyampai kepada penduduk tentang infomasi terkini dan program-program yang diadakan oleh pihak Surau Wahbah Al-Zuhaily. Untuk pengetahuan, jumlah penduduk dan blok yang banyak menyebabkan perlunya kekuatan tambahan daripada wakil blok bagi membantu biro-biro agar setiap aktiviti surau dapat disalurkan kepada seluruh penghuni Presint 18 Fasa R12. Bagi kebanyakan penduduk yang 'kurang aktif', terdapat juga yang mengajukan permasalahan-permasalahan lain seperti keselamatan, kebersihan, khidmat sosial dan sebagainya. Ingin dimaklumkan disini, bahawa ianya tidaklah tertakluk di bawah peruntukan secara khusus kepada wakil-wakil blok lantikan surau kerana dibimbangi akan melangkau peranan pihak kesatuan penduduk atau rukun tetangga.

Walau bagaimanapun, disebabkan rasa tanggungjawab ke atas komuniti, pihak AJK Surau Wahbah Al-Zuhaily telah pun bersetuju untuk sama-sama membantu sedaya yang termampu jika terdapat apa-apa permasalahan yang memerlukan sesebuah jawatankuasa menanganinya. Oleh yang demikian, tidaklah menjadi keberatan daripada pihak kami untuk terus menerima aduan yang diluar daripada maslahat keagamaan dan berkaitan dengan aktiviti surau. Anda semua adalah jemaah Surau Wahbah Al-Zuhaily dan kami tetap bersama anda sekadar termampu.

Akhirnya, seluruh barisan Ahli Jawatankuasa Surau Wahbah Al-Zuhaily mengharapkan kesudian semua penduduk untuk bersatu dan mengimarahkan rumah Allah yang tersergam indah di kawasan kediaman kita. Semoga kita beroleh rahmat daripada-Nya. Amin Ya Robbal A'lamin..



Saturday 21 January 2012

MUQADDIMAH

Dengan nama Allah Yang Maha Mengetahui setiap hajat hamba-Nya..

Alhamdulillah.. Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah di atas kesempatan yang diberikan untuk memulakan penulisan ke atas blog Surau Wahbah al-Zuhaily, Presint 18, Putrajaya ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang membawa ajaran Islam ke serata dunia. Mudah-mudahan kita dijadikan salah seorang daripada penyambung cetusan dakwah ini.

Sebagai pemulaan penulisan blog ini, ingin saya maklumkan kepada semua pembaca, bahawa blog ini hanyalah sebuah blog yang dicipta khas untuk sebarang posting berkenaan aktiviti Surau Wahbah Al-Zuhaily, program-program agama dan kemasyarakatan, penulisan-penulisan agama (insyaAllah daripada ilmuwan-ilmuwan Islam yang layak) dan permasalahan atau isu-isu semasa berkaitan agama yang boleh memberi manfaat kepada semua. Blog ini tidak akan menulis sebarang posting berkaitan politik, isu-isu perkauman dan agama, update program-program hiburan (kecuali hiburan altenatif), cerita-cerita sensasi yang tiada manfaat ilmiah serta jauh sekali posting yang membawa kepada pemesongan aqidah. Mudah-mudahan hasrat ini tercapai dan tujuan sebenar blog ini tidak lari daripada jalan meraih syafaat Allah dan Rasul-Nya.

Kepada semua yang sudi menyinggah dan membaca penulisan di dalam blog ini nanti, doakanlah yang terbaik untuk blog ini dan khusus kepada pembangunan Surau Wahbah Al-Zuhaily. Kalian adalah yang terbaik untuk menjadikan isi kandungan blog ini indah dan sempurna. Jazakallah.